Pemimpin berpindah-randah lebihkan parti berbanding bantu rakyat

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid
A
A
A

PADANG TERAP - Pemimpin yang sering berpindah-randah sebagai calon pilihan raya lebih bermatlamat untuk membina partinya sahaja dan bukannya berniat membantu rakyat di kawasan yang ditandinginya itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, budaya tersebut hanya memberikan kesan tidak baik kepada masyarakat kerana tugas utama seorang pemimpin yang dipilih adalah berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, sikap pemimpin yang sering berpindah-randah ini tidak menjadi amalan calon UMNO dan BN kerana memahami keperluan rakyat yang sentiasa memerlukan perhatian wakil rakyat dari semasa ke semasa.

"Jadi bagaimana mereka nak pedulikan pembangunan kepada rakyat termasuk prasarana, pendidikan dan pembangunan sosio-ekonomi di sesuatu tempat.

"Pilihan raya ini bukan cerita syok-syok, cerita pilihan raya dalam sebuah negara yang demokrasi adalah memilih pemimpin, keduanya pemimpin itu mesti berkhidmat untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu selepas merasmikan Majlis Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas budaya pemimpin yang sering berpindah-randah sebagai calon pada pilihan raya.

Jelas Mahdzir, secara peribadi beliau berpandangan politik berpindah-randah adalah satu perkara yang tidak baik dan digelar nomad politik oleh ahli akademik.

"Kalau misalnya dia bertanding Parlimen di jarak 200 kilometer berbanding ketika dia bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum itu, sebenarnya itu lebih kepada melihat bagaimana nak membina sesebuah parti sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Kita (BN) nak bagi perkhidmatan kepada orang ramai, orang itu (pemimpin) pun tak ada masalah nak jumpa sebab dia ada di situ, walaupun bertanding Parlimen dan perlu selalu ke Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya hujung minggu dia balik ke kawasan," ujar beliau lagi.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar kerusi Parlimen dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Tambun, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Manakala bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin juga turut berpindah dari Hang Tuah Jaya, Melaka ke Bagan Datuk, Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!