Perak terus berusaha tambah hasil negeri
IPOH - Kerajaan Perak akan terus berusaha menambahkan hasil negeri bagi membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara berkenaan sememangnya menjadi pendirian kerajaan negeri selama ini dan kesemua bantuan akan diberikan mengikut kemampuan dimiliki kerajaan negeri.
“Pendirian kerajaan negeri adalah kita bantu ikut kemampuan kita. Hari ini kita lihat lebih 17,000 perlukan bantuan. Setakat ini kita cuma mampu RM80 sebulan untuk makan, tetapi kita sentiasa cari jalan bagaimana kita dapat bantu lebih.
“Tetapi tidaklah sampai jumlah yang tinggi sebab kita tunggu nak cari duit itu dahulu. Kita buat mana yang mampu dahulu, kita bantu ikut kemampuan kita. Kita tak nak bagi bantuan RM500 kemudian naik RM800 dan seterusnya naik lagi ke RM1,200 tapi akhirnya kita dapat tahu pemimpin berkenaan rompak duit rakyat. Itu kita tak mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kad Perak Prihatin di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing; Setiausaha Kerajaan Perak, Zainal Azman Abu Seman dan barisan Exco.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu bekerja lebih kuat demi mendapatkan pendapatan yang lebih agar lebih ramai dapat dibantu di negeri ini.
“Kita nak kurangkan jumlah penerima sebab kita nak mendaya upayakan rakyat kita dan dalam masa yang sama mereka yang memerlukan kita boleh berikan lebih daripada sekarang.
“Sekarang (buat masa ini) ni kita bantu dalam RM80 sebulan, walau kecil tetapi ia boleh membantu,” katanya.
Sementara itu May Ing berkata, rakyat negeri ini perlu menggunakan jumlah RM80 yang ada pada kad berkenaan kerana jumlah berkenaan tidak boleh dibawa ke bulan hadapan.
“Kami galakkan mereka untuk gunakan kad ini mengikut jumlah yang disediakan iaitu RM80 sebulan untuk keperluan. Jika hanya belanja RM60 sahaja, jumlah selebihnya akan dikira hangus.
“Namun pada bulan berikutnya kita akan adakan semula jumlah RM80 itu. Untuk kad perubatan pula had kita adalah RM50,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!