Bekas atlet gagahkan diri cari nafkah keluarga walaupun sakit

A
A
A

Kaven (kiri) mewakili LBS menyampaikan sumbangan Jejak Wira kepada Rajendran menerusi program Jejak Wira.
Kaven (kiri) mewakili LBS menyampaikan sumbangan Jejak Wira kepada Rajendran menerusi program Jejak Wira.

PUCHONG - Sakit jantung tahap tiga tidak menghalang bekas atlet negara, R Rajendran, 44, menggagahkan diri memandu lori demi mencari nafkah menyara keluarga.

Bekas atlet sukan kabaddi itu mula memandu lori secara sepenuh masa pada umur 35 tahun selepas bersara dalam bidang sukan.

Menjadi rutin harian untuknya berulang-alik menghantar barang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur ke Cheras dari jam 5 petang hingga 9 pagi.

Namun, jadual kerja bapa kepada dua cahaya mata itu mula terganggu selepas tahap kesihatannya merosot. Dia menghidap kencing manis pada umur 36 tahun dan disahkan sakit jantung pada tahun lepas.

Kongsinya, sakit jantung mula dikesan ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya selepas mengalami simptom sukar bernafas.

"Saya ketika itu sedang bekerja dan berehat sebentar di dalam lori sebelum alami masalah susah bernafas dan dada terasa berat.

Artikel Berkaitan:

Pasukan perubatan UPSC memeriksa tahap kesihatan Rajendran.
Pasukan perubatan UPSC memeriksa tahap kesihatan Rajendran.

"Saya minta bantuan rakan menghantar ke hospital Putrajaya. Saya disahkan mengalami masalah jantung dan ditahan di wad selama seminggu," katanya ketika menerima kunjungan Jejak Wira Sinar Harian bersama LBS Bina Group Berhad dan UiTM Private Specialist Centre (UPSC) pada Isnin.

Kemudian, kesnya dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan pada April lalu setelah menjalani prosedur ‘stent’ iaitu mengembangkan saluran darah yang tersumbat atau sempit untuk memperbaiki aliran darah ke otot jantung.

Menurutnya, kos rawatan ditanggung oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selepas keluar IJN, saya teruskan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Sekarang saya alami kesakitan di kaki pula dan tidak boleh duduk terlalu lama. Namun, terpaksa juga memandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk menyara keluarga," katanya.

Ceburi kabaddi sejak kecil

RAJENDRAN
RAJENDRAN



Rajendran mula mempelajari kabaddi seawal usia 12 tahun daripada bapanya. Ketika umur 18 tahun, dia terpilih mewakili Malaysia dengan pencapaian terbaik tempat keempat dalam Sukan Asia di Busan pada 2002.

Selain itu, dia juga menjadi pemain terbaik sebanyak tujuh kali dalam kejohanan terbuka di Malaysia.

"Banyak pingat dimenangi di kejohanan dalam negara namun kesemua pingat tersebut musnah dalam kebakaran rumah.

"Saya kemudian bersara dari sukan kabaddi pada usia 35 tahun. Keputusan itu diambil bagi menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menyara keluarga," katanya.

Rajendran merakamkan ucapan terima kasih kerana Sinar Harian melalui program Jejak Wira prihatin tentang tahap kesihatannya dan turut membawa wakil LBS serta UPSC ketika mengunjunginya.

Dr Syakirah (kiri) mewakili UPSC menyampaikan kit kesihatan kepada bekas atlet itu.
Dr Syakirah (kiri) mewakili UPSC menyampaikan kit kesihatan kepada bekas atlet itu.

Ujarnya, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menjadikannya terbuka hati untuk menerima apa juga bantuan.

"Saya gembira ada pihak yang membantu. Saya tetap bertahan kerana susah untuk mencari kerja dengan situasi sekarang.

"Kalau kerajaan bagi pencen atau elaun kepada atlet atau menyediakan pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap kesihatan, saya sangat menghargainya," katanya.

Bantu rawatan terbaik

Pegawai Perubatan UPSC, Dr Syakirah Azami berkata, beliau akan membantu Rajendran mendapatkan rawatan terbaik menerusi khidmat pakar bagi sakit jantung dan tulang.

"Kami akan cuba mencari jalan supaya Rajendran mendapat rawatan kesihatan yang optimum. Beliau menghadapi beberapa masalah kesihatan termasuk jantung. Prosedur ‘stent’ yang dibuat menyebabkan mengalami beberapa simptom selepas itu," katanya.

Rajendran bercerita tentang perjalanan hidupnya selepas bersara daripada bidang sukan kabaddi.
Rajendran bercerita tentang perjalanan hidupnya selepas bersara daripada bidang sukan kabaddi.

Menurutnya, Rajendran dalam proses pemulihan dan perlu berehat untuk pulih sepenuhnya. Beliau turut menasihatkan supaya meneruskan pengambilan ubatan dan patuhi temu janji doktor, selain mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya harap beliau kekal positif, dari segi perubatan kami akan bantu sebaik-baiknya supaya beliau kembali pulih," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam dan Media LBS, A Kaven berkata, pihaknya berharap Sinar Harian dapat meneruskan projek Jejak Wira pada masa hadapan bagi menghargai sumbangan hero negara.

"Terima kasih kerana memberi peluang kepada LBS untuk sama-sama menghargai wira negara. Selain pemeriksaan kesihatan, LBS turut menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban.

"Pada masa sama, saya berharap Rajendran kembali sihat seperti sedia kala bagi memudahkan bekerja menyara keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!