Pendaftaran pelajar Pondok Tok Guru Nik Aziz dipertikai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Urusan pendaftaran pelajar baharu Mahaad Darul Anuar (Mada) yang dibuat tanpa izin pihaknya dianggap sebagai pencerobohan bertentangan dengan syarak dan moral.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, sebagai pewaris wasiat, lembaga pengarah akan mempertahankan hak pemegang amanah ke atas Mada sebagai legasi pendidikan arwah bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Amat dikesali apabila ada pihak tidak bertanggung jawab telah menguruskan pendaftaran terbuka pelajar baharu di dalam kawasan Darul Anuar tanpa izin lembaga pengarah.

“Lembaga pengarah akan terus beroperasi dan mengendalikan pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Nik Omar juga Pengetua Mada berkata, setakat hari ini lembaga pengarah berpandangan bahawa pihaknya mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap Mada.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak berpandangan sebaliknya, dinasihatkan merujuk perkara ini kepada pihak berautoriti dan jika masih tidak berpuashati dengan dapatan diperolehi, pihak tersebut dinasihatkan merujuk perkara ini kepada mahkamah di dalam menentukan pemilikannya,” katanya.

Kemelut pengurusan Mada mula hebah pada awal Oktober lalu berikutan tular surat yang mengatakan intitusi dikendalikan anak kedua arwah Nik Abdul Aziz itu bakal diambil alih Yayasan Islam Kelantan (YIK), Januari ini.

Bagaimanapun isu tersebut tidak terhenti di situ sahaja apabila ia turut disahkan Keluarga Besar Nikmattillah yang kemudiannya dinafikan Nik Omar dengan mempertahankan beliau sebagai pemegang amanah arwah bapanya menguruskan Mada.

Baru-baru ini juga dimaklumkan YIK sudah melantik pengetua baharu bagi menguruskan Mada yang ditubuhkan Tok Ku Nik Mat Alim, ayahanda kepada arwah Nik Aziz pada 1963 setelah kepulangannya dari luar negara.

Artikel Berkaitan:


Terbaharu, semalam Keluarga Besar Nikmatillah membuat pendaftaran terbuka pelajar baharu biarpun pihak Mada mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!