Kaji selidik mega bawa suara rakyat

Kaji selidik mega digerakkan lima media perdana bersama tiga firma penyelidikan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia menjelang PRU15.

Laporan muka depan Sinar Ahad
Laporan muka depan Sinar Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Kaji selidik mega digerakkan lima media perdana di dalam negara bersama tiga firma penyelidikan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarang Berita Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, sebagai media yang menjadi perantara antara kerajaan dan rakyat, akhbar ini bersama Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban bergerak bersama-sama serta berperanan membawa mesej suara rakyat tentang isu-isu paling penting bagi mereka.

Justeru, beliau melihat menuju PRU15, pentingnya parti-parti bertanding memberi perhatian kepada isu yang diketengahkan.

“Kita mahu dapatan daripada kaji selidik ini diambil kira, seterusnya membina naratif perjuangan serta manifesto mereka dan apabila menjadi kerajaan nanti mampu menyelesaikan isu keresahan rakyat di bawah.

“Dari awal lagi, kita sudah menetapkan bahawa tema kaji selidik mega ini 'Apa Rakyat Mahu' iaitu mengetahui apa isi hati dan suara rakyat di bawah.

“Dengan hasil kajian diperoleh, kita berjaya mengetahui isu-isu utama membelenggu rakyat di bawah yang perlu dijadikan perhatian pemimpin negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Tangani segera isu kritikal rakyat

Tambah Zamri, walaupun tiga firma penyelidikan menjalankan kaji selidik secara berasingan dengan metodologi dan sasaran responden tersendiri, jawapan atau keresahan rakyat mengenai isu utama yang perlu diselesaikan kerajaan dan pemimpin negara hampir sama.

“Isu mengenai kos sara hidup, kenaikan harga barang, ekonomi, pendidikan, ketidakstabilan politik dan hubungan antara kaum mendapat peratusan paling tinggi dalam semua kaji selidik yang dijalankan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Zambri
Zambri


Bantu wartawan 'gali' isu rakyat

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, kaji selidik mega yang dijalankan menjelang PRU15 amat penting bagi media untuk memahami dengan jelas pertimbangan memilih dan apa kehendak utama rakyat.

Katanya, dapatan daripada kajian itu juga membantu media dan wartawan-wartawan yang berada di lapangan untuk menggali dengan lebih mendalam isu-isu membelenggu rakyat.

Menurutnya, berdasarkan kaji selidik yang dijalankan merentasi semua kaum dan geografi, dapatan mendapati perkara pertama yang berada dalam jiwa dan kepala rakyat adalah mengenai kualiti dan kos sara hidup serta cabaran dalam mendepani sosioekonomi mendatang untuk menjamin kesejahteraan hidup yang lebih baik.

“Kos sara hidup dan harga barang, memulihkan kembali ekonomi negara, soal pendidikan serta kestabilan politik antara perkara utama yang perlu diselesaikan oleh pemimpin.

“Kita faham, tahun depan cabarannya mungkin lebih besar dengan kemungkinan kemelesetan ekonomi dunia. Ini semua berkait dengan apa kehendak rakyat.

“Sebab itu pentingnya dapatan kajian ini dalam kita membuat liputan semasa PRU15. Bagi Astro Awani, hasil kajian inilah yang perlu kita faham dengan lebih lanjut,” katanya.

Tambah Ashwad, apa yang menarik adalah idea-idea akan ditawarkan oleh parti politik dalam PRU15 untuk mengubah, menampan dan mengikat kualiti hidup masyarakat secara umum, pasti akan menggembirakan pengundi, selain calon dipilih perlu bekerja keras.

Ashwad
Ashwad


Bukti rakyat masih dalam keadaan susah

Editor Bersekutu Malaysia Nanban, Rajeswary pula berkata, kaji selidik oleh tiga firma penyelidikan berkenaan membuktikan rakyat berada dalam keadaan susah ketika ini.

Dalam kaji selidik itu, rata-rata rakyat mahu kerajaan yang diberi mandat pada PRU15 memberi keutamaan menyelesaikan isu kos sara hidup tinggi di samping kenaikan harga barang keperluan begitu ketara.

Katanya, sudah pasti mereka yang terkesan turut melibatkan masyarakat India.

“Amat menyedihkan tidak banyak perubahan dalam hidup mereka (masyarakat India) dalam tempoh 60 tahun ini.

“Mereka mendambakan keperluan asas dan perubahan dalam kehidupan mereka serta masih berjuang untuk menyara keluarga,” kata beliau.

Menurutnya, antara isu-isu lain membelenggu masyarakat India yang masih belum diselesaikan ialah isu kewarganegaraan dan penempatan.

“Sebagai pengamal media kita hanya boleh ketengahkan isu namun akhirnya rakyat juga yang perlu buat keputusan,” ujarnya.

Rajeswary
Rajeswary


Hasil kajian perlu diletak dalam manifesto parti

Bagi Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang, dapatan kajian daripada kaji selidik mega yang diperoleh akan diketengahkan semua media terlibat dalam membantu membawa suara rakyat.

Katanya, isu utama yang dibangkitkan responden disiarkan agar semua parti bertanding tahu apa yang perlu dilakukan mereka.

“Kami siarkan keputusan kaji selidik ini supaya parti bertanding tahu apa yang perlu diletakkan dalam manifesto mereka pada PRU15. Mereka perlu lebihkan isu melibatkan rakyat.

“Parti-parti ini juga diharap dapat memberi formula terbaik bagi menangani isu kos sara hidup untuk semua lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, dalam nada sama, Ketua Pegawai Pengisian The Star, Esther Ng berkata, kaji selidik yang dilakukan ini amat penting kerana ia melibatkan kehidupan seharian rakyat dan harapan mereka pada masa hadapan.

“Berlainan dengan kaedah biasa yang dilakukan The Star seperti membuat laporan wawancara dengan pakar dan rakyat, tiga kaji selidik ini membolehkan kami ketengahkan rumusan berlandaskan analisis data.

“Responden ketiga-tiga kaji selidik ini adalah mikro segmen rakyat majmuk di Malaysia yang memberi gambaran harapan pada PRU15. Ini yang akan The Star ketengahkan,” katanya.

Barisan wakil daripada lima media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban serta tiga firma penyelidikan terdiri daripada Ilham Centre, Huayan Policy Institute Centre dan O2 Research Malaysia yang bergabung mengumpulkan suara rakyat Malaysia menerusi kaji selidik mega.
Barisan wakil daripada lima media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban serta tiga firma penyelidikan terdiri daripada Ilham Centre, Huayan Policy Institute Centre dan O2 Research Malaysia yang bergabung mengumpulkan suara rakyat Malaysia menerusi kaji selidik mega.



ARTIKEL BERKAITAN Lima perkara utama perlu diselesaikan.

Keluhan sebenar rakyat Malaysia.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!