'PH menang di Setiawangsa bukan kerana tsunami politik'
KUALA LUMPUR - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Setiawangsa pada 2018 bukan disebabkan tsunami politik semata-mata sebaliknya turut dipengaruhi oleh faktor lain.
Penyandang kerusi Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau bukan calon bidan terjun sebaliknya telah bekerja di Parlimen tersebut sejak 2015 sebelum menjadi calon di sana tiga tahun kemudian.
Justeru katanya, tidak adil mengaitkan kemenangannya di Setiawangsa disebabkan tsunami politik semata-mata.
"Kita akui ketika itu terdapat gelombang tersebut tapi saya bukan calon bidan terjun. Tiga tahun saya bekerja di sini sebelum saya bertanding dalam PRU14 (2018).
"Saya masuk di Seri Setia, Selangor pun sama. Orang tidak kenal saya dan ketika itu umur saya baru 26 tahun.
"Orang kata tsunami politik tapi saya menang majoriti 2,800 undi. Pada 2013 saya bertanding sekali lagi dengan rekod (sebagai ADUN) dan saya menang majoriti 4,600," katanya pada Majlis Malam Kutipan Dana Keadilan Setiawangsa di Define Grand @Hotel Flamingo Ampang pada Sabtu.
Program kutipan dana bagi PRU15 itu turut dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.
Katanya, PRU pada kali ini dianggap lebih mencabar namun beliau yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa.
"Saya tahu PRU kali ini lebih mencabar dan saya tidak akan ambil mudah namun saya yakin dengan rekod saya.
"Segala teguran saya terima dan perbaiki, insya-ALLAH saya mampu mendapat mandat dari penduduk Setiawangsa semasa PRU15 nanti," ujarnya.
Ditanya mengenai perkara yang akan ditumpukan dalam manifesto, beliau berkata, akan memfokus masalah miskin bandar, gaji dan pekerjaan.
"Gaji RM3,000 dalam kawasan bandar ini adalah satu masalah yang menekan bagi rakyat. Zaman dah berubah, dengan pendapatan tersebut agak berat untuk menyara tiga atau empat anak.
"Sebab itu isu gaji perlu difokus oleh kerajaan. Bagaimana kerajaan dapat membantu melalui kenaikan secara beransur-ansur.
"Selain itu, isu pekerjaan anak muda terutama lulusan ijazah yang terpaksa masuk dalam sektor gig ekonomi bagi menampung pinjaman pendidikan juga harus diberi perhatian. Itu bukan perkara yang perlu dibanggakan," katanya.
Untuk rekod, Nik Nazmi menang kerusi Setiawangsa dengan majoriti 14,372 menewaskan Zulhasnan Rafique (BN) dan Ubaid Abd Akla (Pas).
Beliau diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15.
Jumlah pengundi Parlimen Setiawangsa meningkat kepada 95,000 pada PRU15 berbanding 70,000 pada PRU14.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!