Pembantu kedai angkut PATI dipenjara 2 tahun
KOTA BHARU - Seorang pembantu kedai dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana mengangkut empat pendatang asing tanpa izin (PATI), tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 2 Oktober 2018 lalu itu terhadap tertuduh, Mohd Asyraf Nazri, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.
Mohd Asyraf didakwa sebagai operator sebuah kereta Proton Wira warna kelabu bernombor pendaftaran CBG 5825 terlibat dalam pengangkutan migran warga Myanmar iaitu Paye Phyo Aung, 23; Soe Khimg @ Soe Khing, 40; Way Win Tun, 22; dan Then Swe, 30.
Dia melakukan kesalahan di Hentian Bas Ketereh, Jalan Kuala Krai - Kota Bharu pkira-kira jam 5.45 petang pada 2 Oktober 201.
Mohd Asyraf didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Imigresen Malaysia, Wong Siew Mun, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan negeri, Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!