Kemalangan maut: Lama mencari adik, pertemuan terakhir 2016

Syaharuddin menunjukkan gambar terakhir bersama arwah (tudung warna merah jambu, depan). Gambar kecil: Nuratika Arshad
Syaharuddin menunjukkan gambar terakhir bersama arwah (tudung warna merah jambu, depan). Gambar kecil: Nuratika Arshad
A
A
A

KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] "Kali terakhir kami bertemu kira-kira lima tahun lepas dan kejadian ini benar-benar mengejutkan sebab kami memang mencarinya sejak sekian lama," kata Syaharuddin Arshad, 34.

Syaharuddin merupakan abang sulong kepada seorang wanita yang maut iaitu Nuratika Arshad, 27 yang turut mengorbankan anak lelakinya Muhammad Daeng Andi Makita Nuh Annas Andri, tiga tahun dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Seremban-Kuala Pilah awal pagi Ahad.

Kandungan Nuratika yang mencecah enam bulan tidak dapat diselamatkan, suaminya berusia 30 tahun dan tiga lagi anaknya yang berusia lima hingga lapan tahun selamat, kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Jelas Syaharuddin, adiknya itu adalah anak ke lima daripada 10 beradik berasal dari Semporna, Sabah dan telah berkahwin mempunyai empat orang anak yang berusia tiga hingga lapan tahun.

"Kami enam beradik termasuk arwah merantau ke Semenanjung namun kali terakhir kami bertemu pada tahun 2016 dan selepas itu arwah tidak dapat dihubungi bersama suaminya susulan menukar nombor telefon.

Keadaan kereta mangsa.
Keadaan kereta mangsa.

"Usaha mencarinya telah lama dibuat termasuk membuat hebahan di sosial media pada tahun 2017 tetapi tiada maklumat diperolehi sehinggalah kami dimaklumkan mengenai kemalangan yang tular di laman Facebook," katanya ketika ditemui pemberita di HTAN pada Ahad.

Mengulas lanjut, jenazah adiknya bersama anak saudaranya itu akan dibawa pulang ke Sabah untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat dan hal berkaitan di sini selesai.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Kuala Pilah.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kereta yang dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

"Akibatnya, mangsa iaitu dua orang penumpang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala pemandu mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tiga penumpang yang lain mengalami kecederaan ringan.

"Mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke HTAN untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!