Gaji rendah bukan faktor utama tak sertai ATM

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

KUANTAN - Gaji rendah bukan faktor utama kaum bukan Melayu kurang berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, isu itu mungkin salah satu faktornya namun beliau melihat ada faktor lain yang perlu diberi perhatian terhadap isu itu.

Menurutnya, mereka mungkin kurang dorongan dan galakan daripada keluarga kerana peratusan kaum bukan Melayu menyertai ATM sebelum ini terlalu rendah.

“Berbanding kaum Melayu, ramai yang menyertai pasukan itu jadi ahli keluarga yang lain terdorong untuk menyertainya kerana mereka secara tidak langsung memahami kehidupan, budaya dan displin sebagai seorang tentera.

“Pada masa sama, golongan ini juga mungkin ada cara lain untuk terjemahkan semangat patriotisme mereka kepada negara dan bukan melalui penyertaan dalam tentera semata-mata,” katanya.

Chean Chung yang juga Bendahari Agung PKR berkata, walaupun mereka tidak dapat menterjemahkan rasa sayang dan semangat patriotisme mempertahankan negara sebagai tentera namun mereka ambil peranan itu dengan cara lain.

“Ada yang berjuang mengharumkan nama negara dalam sukan, ekonomi dan bidang lain tetapi matlamatnya tetap sama, demi untuk negara tercinta ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, isu kurang penglibatan bukan Melayu dalam pasukan tentera perlu diberi perhatian dengan mewujudkan insentif tertentu supaya dapat menarik minat mereka terutama golongan muda hari ini menyertainya.

Artikel Berkaitan:

“Saya sendiri sedar tentang perkara ini justeru akan cuba beri perhatian sewajarnya mungkin selepas ini boleh aturkan program sesuai dengan kerjasama Kementerian Pertahanan untuk menarik lebih ramai anak muda dalam kalangan bukan Melayu menyertai tentera.

“Walau bagaimanapun, usaha memupuk semangat patriotisme sentiasa berterusan bagi memberi kesedaran kepada setiap ahli masyarakat bahawa mereka ada peranan dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebelum ini berkata, skim tangga gaji pasukan keselamatan itu mungkin perlu dikaji semula terutama anggota berpangkat rendah dalam usaha menarik minat golongan terbabit menyertai tentera.

Beliau berkata, walaupun pelbagai kempen sudah dijalankan, ia masih gagal menarik minat kaum bukan Melayu menyertai pasukan keselamatan.

Katanya, beliau melihat pembabitan masyarakat India agak tinggi berbanding Cina dan ia mungkin kerana masalah tangga gaji yang rendah dan kerajaan perlu fikir tangga gaji lebih sesuai kepada ATM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!