Pas tidak bermusuh dengan UMNO
KOTA BHARU - Pas kekal dengan pendirian UMNO bukan musuh walaupun tidak menjalinkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan musuh utama parti itu ketika ini ialah Pakatan Harapan (PH) selari dengan ketetapan yang dibuat oleh UMNO.
"Pas kekal dengan pendirian UMNO sebagai kawan dan akan terus berusaha mengajak parti itu untuk bersama menerusi konsep penyatuan ummah," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurut beliau, penyatuan ummah itu selari dengan ketetapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang perlu merangkumi parti Melayu-Islam.
Ujarnya, walaupun Pas menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun mereka tetap mahu UMNO bersama dalam penyatuan ummah melibatkan gabungan tiga parti terbesar Melayu-Islam.
Takiyuddin berkata, konsep penyatuan itu dapat dilihat semasa pembentukan kerajaan secara bersama sejak Mac 2020 lalu.
"Perdana Menteri, Bersatu dan menteri-menteri kanan dari UMNO, Bersatu serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Bagaimanapun Pas tidak minta jawatan. Bila berlaku pertukaran Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kepada UMNO selepas ada yang menjatuhkan rakan parti di dalam kumpulan kita.
"Namun sokongan terhadap Perdana Menteri daripada UMNO tetap diberikan termasuklah Muhyiddin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!