Jelajah Selangor Penyayang Sepang perkenal pelbagai insentif baharu

Program tersebut turut memperkenalkan pelancaran Rumah Idaman Melur

A
A
A

Amiruddin (empat dari kiri) bersama Hock San (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok @Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang.
Amiruddin (empat dari kiri) bersama Hock San (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok @Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang.



SEPANG- Jelajah Selangor Penyayang fasa dua bagi memperkenalkan pelbagai insentif baharu dan ditambah baik untuk rakyat kini berlangsung di Sepang pada Sabtu dan Ahad.

Bertemakan Menjamin Kehidupan Bermartabat, program berlangsung di KIP Sentral, Kota Warisan itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk pelancaran Rumah Idaman Melur pada Sabtu.

Pelancaran Rumah Idaman Melur merupakan satu lagi kejayaan dalam matlamat Kerajaan negeri Selangor bagi memperluaskan pemilikan rumah di kalangan mereka yang berpendapatan B40 dan M40.

Majlis pelancarannya disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut dijadualkan melancarkan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) pada Ahad.

Daerah Sepang dan Kuala Langat dijangka akan menerima tempias ekonomi menerusi IDRISS yang dianggarkan bernilai RM1 trilion.

Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor sentiasa prihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyat terutama dalam penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa serta kemudahan-kemudahan asas yang lain.

Amirudin (tengah) bersama Hock San (lapan dari kiri) melihat replika perumahan pada majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur Dan Program Penanaman Pokok @ Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang.
Amirudin (tengah) bersama Hock San (lapan dari kiri) melihat replika perumahan pada majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur Dan Program Penanaman Pokok @ Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang.

Artikel Berkaitan:

“Matlamatnya adalah supaya kita dapat memperbaiki lagi mutu kehidupan rakyat,” katanya pada Majlis Pelancaran Rumah Idaman Melur dan Program Penanaman Pokok Jelajah Selangor Penyayang Sepang di Cybersouth, Dengkil di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San. Rumah Idaman Melur bakal dibina di atas tanah seluas kira-kira empat hektar merangkumi sebanyak 1,448 unit rumah idaman dan projek ini dijangka akan siap menjelang suku keempat tahun 2026.

Seperti pembangunan rumah idaman yang lain, setiap unit Rumah Idaman Melur berkeluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi dengan separa perabot serta dua unit tempat letak kereta dan terletak di lokasi strategik.

Malah harga ditawarkan amat berpatutan bagi setiap unit sekali gus menjadi tarikan besar kepada pembeli hartanah dan sehingga kini, sebanyak 4,631 unit rumah idaman melibatkan tiga projek sedang dalam pembinaan.

Amirudin berkata, sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang2, Semenyih pula telah siap dibina dan merupakan antara pembangunan rumah idaman pertama diluluskan dengan sebahagian unit untuk fasa pertama telah diserahkan kepada pembeli.

Menurutnya, syarat-syarat kelayakan dan kriteria pemilikan rumah idaman ini terpakai seperti yang telah ditetapkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor.

“Untuk memiliki kediaman pertama dengan harga bersih RM250,000 seunit ini, pendapatan isi rumah RM10,000 dan MBI juga berusaha untuk memberi solusi menyeluruh dari segi kewangan kepada mereka yang layak membeli unit-unit kontra,” katanya.

Amirudin (depan, dua dari kanan) turut merasmikan Program Penanaman Pokok sempena program Jelajah Selangor Penyayang Sepang pada Sabtu.
Amirudin (depan, dua dari kanan) turut merasmikan Program Penanaman Pokok sempena program Jelajah Selangor Penyayang Sepang pada Sabtu.

Amirudin berkata, di Selangor sahaja populasi penduduk telah meningkat ekoran daripada penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar-bandar besar untuk mencari peluang pekerjaan.

Menurutnya, kesan daripada penghijrahan tersebut, jumlah penduduk di bandar-bandar utama semakin bertambah menyebabkan wujudnya faktor kekurangan tempat tinggal dan kesukaran untuk memiliki atau menyewa rumah di pasaran terbuka.

“Ini telah mendorong Kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan projek-projek rumah mampu milik seperti pembangunan rumah idaman,” katanya yang turut melancarkan Program Penanaman Pokok sempena program Jelajah Selangor Penyayang Sepang.

Beliau berkata, Program Penanaman Pokok itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang memberi tempoh hingga 2026 untuk menyempurnakan sasaran penanaman 26 juta pokok baharu di negeri Selangor.

Dalam pada itu, Jelajah Selangor Penyayang Sepang pada kali ini turut menampilkan persembahan artis-artis popular, saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah serta pameran.

Turut diadakan cabutan bertuah, pertandingan memanah dan mewarna kanak-kanak, persembahan basikal lasak BMX, zumba, permainan tradisional dan jualan makanan.

Sebelum ini, program bantuan rakyat diadakan di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan Stadium Sultan Sulaiman, Klang.

Acara sama pernah diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya dan Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Padang Awam Batu Caves.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!