Kerajaan sokong aktiviti permotoran: PM
BERA - Sukan permotoran di negara ini yang juga antara aktiviti golongan muda dan belia turut mendapat perhatian kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menyokong aktiviti tersebut dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disalurkan.
Menurutnya, ia termasuk pembinaan trek litar lumba di seluruh negara bagi membolehkan pelbagai aktiviti permotoran dianjurkan dari semasa ke semasa.
"Seperti yang telah saya umumkan di Terengganu dan telahpun dibentangkan ketika Bajet 2023, kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta untuk membina trek litar lumba dan kita akan membina sebuah di Bera.
"Kalau ada keperluan lain lagi saya boleh bantu 'rider' ini dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Moh Wei 2 Waheel di Dataran Dewan Konvensyen Bera di sini pada Ahad.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu belia seperti memulakan perniagaan dan sebagainya.
Tambah beliau, antaranya memperkenalkan semula skim mobilepreneur iaitu pemberian motosikal yang telah dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan bagi membantu belia memulakan perniagaan.
Dalam pada itu katanya, kerajaan turut melancarkan projek pembinaan rumah mampu milik yang ditawarkan dengan harga serendah RM45,000 supaya belia dapat memiliki rumah sendiri.
"Selain itu, kerajaan juga membantu untuk memastikan golongan muda yang tidak mempunyai kerja tetap dapat memiliki rumah dengan melancarkan skim jaminan kredit perumahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!