PTPTN raih RM144 juta deposit simpanan SSPN
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin mampu mencapai sasaran RM150 juta deposit Simpan SSPN sempena Bulan Menabung Simpanan SSPN (BMS) 2022.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, bagi tempoh 1 Oktober sehingga 28 Oktober lepas, sebanyak RM144 juta atau 96 peratus jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima berbanding RM150 juta yang disasarkan.
“Insya-ALLAH, masih berbaki dua hari lagi sebelum 31 Oktober dan PTPTN yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pendeposit kerana anda berjaya menjadi 'superhero' bagi anak anda,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Dasuki sebelum itu menyempurnakan Majlis Penutup BMS 2022 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia secara dalam talian pada Ahad melalui Facebook PTPTN Official dan YouTube PTPTN TV.
Ahmad Dasuki berkata, BMS amat signifikan dengan Hari Tabungan Sedunia kerana kedua-duanya adalah bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dan budaya penabungan yang perlu diterapkan dalam diri individu.
"Atas semangat inilah PTPTN memilih untuk menganjurkan BMS pada Oktober setiap tahun bermula tahun 2018 dengan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan Hari Tabungan Sedunia.
"Tahun ini merupakan tahun kelima PTPTN menganjurkan program ini untuk Keluarga Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan lain, PTPTN turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Program Junior Superhero Simpan SSPN Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 bersempena sambutan menabung pada tahun ini.
Melalui program itu, PTPTN memberi sumbangan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 kepada kelahiran bayi baharu bulan Oktober tahun 2022.
Pelaksanaan program itu bertujuan untuk menanam budaya menabung dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penabungan serta perancangan kewangan dari awal untuk jaminan masa hadapan bagi tujuan pendidikan tinggi melalui Simpan SSPN.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff berkata, dalam usaha memperkasakan budaya penabungan, PTPTN turut bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan-rakan strategik.
"Ia menerusi pelbagai program dan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang Oktober 2022 untuk meningkatkan kesedaran dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!