Kerusi Parlimen Tapah milik PH, bukan Muda
SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjelaskan kerusi Parlimen Tapah adalah milik Pakatan Harapan (PH) dan bukannya milik parti itu.
Ketua Penerangannya, Luqman Long berkata, sehingga 29 Oktober lalu, Muda telah mengumumkan tiga kerusi yang akan ditandingi parti itu iaitu di Parlimen Kepala Batas, Parlimen Tanjong Karang dan Parlimen Tanjung Piai.
Ujarnya lagi, rundingan Muda-PH berkenaan jumlah kerusi telah dimuktamadkan juga pada pada hari yang sama (29 Oktober).
"Komitmen Muda-PH juga adalah untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi antara Muda-PH.
"Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan komitmen Muda-PH ini adalah bukan kenyataan rasmi Muda," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau menambah Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd Aziz juga telah mengumumkan beberapa lagi jumlah kerusi termasuk di Sabah pada 31 Oktober ini dan di Muar pada 2 November nanti.
"Kerusi rasmi untuk Muda juga hanya akan diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd Aziz," jelasnya.
Menurutnya, semua calon Muda adalah mereka yang muda, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untukMalaysia.
"Semoga usaha Muda untuk membina semula negara Malaysia ini menerima sokongan rakyat Malaysia dan dipermudahkan Tuhan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Muda akan mempertaruhkan Pengerusi Muda Perak, Mutalib Uthman untuk bertanding di kerusi Parlimen Tapah PRU15 nanti.
Mutalib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat hasil rundingan kerjasama politik di antara Muda dan PH.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memaklumkan keputusan agihan kerusi hasil perjanjian kerjasama PRU15 di antara PH dan Muda hanya akan diumumkan pada Selasa ini.
"Saya harap pimpinan semua parti lebih matang dan menghormati proses, bukannya main umum di Facebook," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!