Polis panggil penganjur, penyewa tapak acara 'bundle'
SERDANG - Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada penganjur acara jualan baju terpakai atau 'bundle' yang tular didakwa menipu penyewa tapak di sebuah pusat beli belah di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, laporan dibuat seorang wanita tempatan yang juga pengurus acara berkenaan berhubung isu penyewa kerana tidak berpuas hati terhadap pihak pengurusan acara itu.
Video viral tersebut disahkan berlaku di kawasan Serdang, di mana penyewa tidak berpuas hati dengan penganjur dan meminta penganjur mengembalikan duit sewa.
"Pihak penganjur membuat laporan bertujuan rujukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Media tempatan pada Sabtu melaporkan, acara jualan pakaian 'bundle' yang dijadual berlangsung dua hari pada Sabtu dan Ahad itu bertukar kecoh apabila didatangi anggota pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut laporan berkenaan, keadaan bertambah kecoh apabila penyelia tapak dimaklumkan pihak penganjur tidak membuat permohonan permit daripada PBT terbabit.
Dalam pada itu, Anbalagan berkata, polis turut menerima daripada pihak penyewa tapak dan kedua-dua pihak telah dipanggil untuk membantu siasatan.
Katanya, kes terbabit masih di dalam siasatan pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!