PRU15: PH tolak kerjasama pilihan raya dengan PSM

Kenyataan akhbar oleh Arutchelvan pada Ahad.
Kenyataan akhbar oleh Arutchelvan pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) telah menolak untuk mengadakan kerjasama pilihan raya bersama Parti Sosialis Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi PSM yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu, S Arutchelvan berkata, pihaknya menerima pemakluman keputusan menerusi surat rasmi daripada PH pada Ahad.

“Tanpa satu kerusi pun diberikan, kita faham PH tidak berkehendakkan pakatan pilihan raya dengan PSM.

“Kami kesal kerana keputusan itu dimaklumkan kepada kami lewat walaupun Rafizi Ramli pada Jumaat menyatakan bahawa terdapat kerusi tertentu diperuntukkan untuk PSM dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rafizi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat memaklumkan partinya memperuntukkan tiga kerusi Parlimen kepada Muda dan PSM dalam PRU15 iaitu Sungai Siput, Tapah dan Sembrong.

Arutchelvan berkata, PSM meminta kerjasama pilihan raya dengan PH kerana ia merupakan hasrat ahli, penyokong serta kumpulan masyarakat sivil yang mahu parti itu untuk menyertai gabungan politik dan tidak bersendirian.

“PH kemudian melalui saluran rasmi bersetuju bahawa satu proses mengenai pakatan pilihan raya dengan PSM akan dimulakan. Dalam dua pertemuan yang diadakan antara kita dan PH, PSM mengemukakan permintaan yang sangat minima.

“Kami meminta Pengerusi kami Dr Michael Jeyakumar Devaraj dibenarkan untuk menjadi calon kerana beliau adalah individu terbaik dan paling boleh menang untuk Sungai Siput.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga memberi dua lagi kerusi Parlimen bukan penyandang ganti yang disandang BN jika kerusi Sungai Siput itu tidak diberikan. Kami juga meminta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan penyandang dipegang oleh BN,” ujarnya.

Dr Jeyakumar merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput bagi dua penggal iaitu dari tahun 2008 hingga 2018.

Menurut Arutchelvan, PSM turut memberikan indikasi bahawa parti itu tidak mempunyai masalah sekiranya diperuntukkan mana-mana kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Katanya, pasukan perunding daripada PH iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dan Steven Sim Chee Keong menyatakan bahawa isu tersebut hanaboleh diselesaikan oleh Majlis Presiden PH.

“...yang mana akhirnya kami dimaklumkan kami hari ini (Ahad), enam hari sebelum pencalonan keputusan yang mengecewakan ini.

“Kami kecewa kerana tiada usaha serius yang dibuat oleh PH untuk mempercepatkan proses ini atau cari jalan walaupun banyak usaha di pihak kami. Kami juga sedar bahawa ramai orang yang mengharapkan kita bekerjasama dengan PH akan kecewa,” katanya.

Arutchelvan berkata, dengan perkembangan tersebut, PSM akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat tergempar pada Ahad dan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan pada Isnin untuk memutuskan mengenai penyertaan parti itu dalam PRU15.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!