Andalusia, Amal by Malaysia Airlines meterai MoU
KUALA LUMPUR - Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Penerbangan Sewa Khas Airbus A380 bersama Amal by Malaysia Airlines (Amal) di sini, hari ini.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, MoU tersebut merupakan satu bentuk kerjasama yang memberi manfaat kepada para jemaah menunaikan umrah antara September tahun ini hingga Jun tahun depan.
"Pada tahun lalu, Andalusia bergerak secara solo dengan menyewa 69 penerbangan perkhidmatan sewa khas (cater).
"Bagaimanapun, bagi pelepasan bermula pada 19 September 2019 hingga 1 Jun 2020 kami dengan kerjasama Amal bergerak maju menawarkan 102 penerbangan cater melibatkan 46,000 tempat duduk penumpang," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Sewa Khas Airbus A380 antara Andalusia dan Amal di pejabat Andalusia di sini, hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Ida Riswana mewakili Andalusia manakala Amal pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazman Hilmi Sallahuddin.
Ia disaksikan oleh Ketua Komersil Amal, Yazid Mohamed dan Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah.
Mengulas lanjut, Ida Riswana memberitahu, Amal menjadi pilihan selepas pihaknya menerima maklum balas positif daripada kumpulan jemaah umrah yang selesa menaiki pesawat A380 Malaysia Airlines Berhad (MAB).
"Selain itu, kepelbagaian perkhidmatan istimewa yang ditawarkan Amal kepada golongan jemaah sepanjang tempoh penerbangan turut menarik minat pihak Andalusia.
"Antaranya, menganjurkan sesi talbiyah, doa musafir, azan, pengumuman miqat dan tazkirah bersama mutawif dan ustaz yang mengiringi para jemaah termasuk pemberian kit umrah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!