Kemboja, Maldives layankan sahaja...

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Jamal Nasir
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Jamal Nasir
A
A
A

“JIKA hanya Kemboja dan Maldives yang ada untuk perlawanan pemanas badan sebelum kempen Piala AFF, kita layankan sahaja..."

Itu pandangan legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail selepas Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon dijadualkan berdepan Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan menjelang saingan Piala AFF 2022 hujung tahun ini.

Menurut Jamal, beliau percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pasti mempunyai sebab yang tersendiri memilih dua pasukan tersebut untuk dijadikan medan ujian sebelum persiapan kejuaraan dwi tahunan itu.

“Sememangnya kita amat berharap dapat berdepan pasukan ranking lebih tinggi tidak hanya untuk Piala AFF tetapi juga fokus persiapan pusingan akhir Piala Asia 2023 tahun depan.

“Ya, saya juga akui para peminat bola sepak berharap apabila berdepan pasukan ranking tinggi secara tidak langsung kualiti pasukan kita akan meningkat melalui proses pembelajaran.

“Namun kita perlu realistik pasukan bola sepak negara bukan pada tahap seperti pasukan hoki yang sentiasa mendapat lawan yang lebih kompetitif.

“Malah saya percaya FAM sudah ada perancangan yang tersendiri sebelum memutuskan untuk beraksi menentang dua negara tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad

Sebelum ini terdapat dalam kalangan netizen yang mempersoalkan pemilihan Kemboja dan Maldives yang disifatkan tidak setaraf tahap pasukan kebangsaan yang sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia 2023 tahun depan

Terdapat juga dalam kalangan pelayar maya yang beranggapan pemilihan perlawanan persahabatan itu seolah-olah tangkap muat dan tidak dilakukan dengan teliti badan induk bola sepak negara tersebut.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan persahabatan itu, Jamal berharap pemain tidak mengambil mudah walaupun berdepan lawan yang mempunyai ranking lebih rendah berbanding Malaysia.

Jelas beliau, perlawanan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain bagi membolehkan mereka tersenarai dalam pasukan kebangsaan.

“Walaupun lawan kita ini berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia, namun ia bukanlah tiket untuk kita memandang rendah mereka. Ini kerana dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku.

“Jadi, saya harap para pemain yang dipilih beraksi dalam perlawanan persahabatan ini dapat mempamerkan aksi sebenar.

“Ini kerana ia sudah tentu akan jadi tempat jurulatih kebangsaan memilih para pemain yang dimahukan bagi menggalas cabaran Malaysia di Piala AFF kelak,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!