43 peratus akan buat keputusan saat akhir

Kajian O2 menunjukkan jumlah pengundi atas pagar kini semakin besar berbanding hanya 10 peratus pada PRU14, susulan tindakan ramai penyokong BN beralih menyokong parti lain.

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian firma penyelidikan O2 Research Malaysia (O2) mendapati 43 peratus pengundi di Malaysia mungkin hanya membuat keputusan memilih calon atau parti pada saat akhir iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November nanti.

Ketua Penyelidik O2, Anis Anwar Suhaimi berkata, kajian O2 menunjukkan jumlah pengundi atas pagar kini semakin besar berbanding hanya 10 peratus pada PRU14, susulan tindakan ramai penyokong BN beralih menyokong parti lain.

Beliau berkata, kajian O2 juga menunjukkan 28 peratus responden sudah ada kecenderungan terhadap sesebuah parti, namun mereka masih terbuka untuk menukar haluan dan mengundi parti lain.

"Sebanyak 51 peratus pengundi atas pagar berkenaan adalah daripada kelompok pengundi berusia bawah 30 tahun, majoriti mereka merupakan pengundi pertama kali pada PRU15.

"Kebanyakan mereka dipercayai sukar memahami perkembangan politik tanah air yang semakin rumit selepas PRU14. Situasi yang kurang jelas dengan pendedahan politik yang minimum menjadikan mereka masih berkira-kira parti manakah yang terbaik sebagai pilihan untuk mentadbir Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Pengundi atas pagar yang semakin besar memperlihatkan semangat keterikatan dan kesetiaan kepada parti semakin longgar dan ini memberi cabaran kepada parti-parti untuk mengekalkan tabung undi mereka," katanya kepada Sinar Premium.

ARTIKEL BERKAITAN: Kunci kemenangan sudah jelas

Bagaimanapun, Anis berkata, saiz pengundi atas pagar kini berperanan besar dalam mempengaruhi peluang kemenangan sesebuah gabungan parti politik.

"Penglibatan mereka sama ada untuk turun mengundi atau sebaliknya bakal mempengaruhi peluang kemenangan sesebuah parti. Oleh sebab sikap politik yang masih sukar untuk dinilai, parti-parti yang bertanding terpaksa berusaha keras dan tidak boleh selesa dengan sokongan semasa.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, golongan ini tanpa sedar atau tidak sebenarnya memiliki suara tuntutan signifikan untuk didengari dan wajar dirunding oleh parti-parti politik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Majoriti pengundi Cina pilih PH

Menurut Anis, antara isu yang mempengaruhi golongan pengundi atas pagar termasuklah soal kestabilan politik, ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat.

"Dalam mempertimbangkan parti yang boleh membuat tawaran lebih baik kepada mereka, isu-isu awam berpotensi menjadi faktor utama.

"Antaranya isu sosial yang melibatkan gejala sosial dan penderaan domestik, isu alam sekitar dan juga peluang pekerjaan bagi orang muda," katanya.

Hasil kaji selidik O2 Research Malaysia mengenai tabiat mengundi.
Hasil kaji selidik O2 Research Malaysia mengenai tabiat mengundi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!