BN hantar jentera tambahan ke Tambun
IPOH - Sebahagian jentera BN di Parlimen Ipoh Barat, Ipoh Timor dan Batu Gajah akan dihantar ke kawasan Parlimen Tambun bagi membantu jentera pilihan raya di situ untuk memastikan kemenangan BN.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan perlu diberikan kepada jentera di kawasan Parlimen Tambun kerana kawasan luas dan jumlah pengundi yang ramai.
"Bila kawasan besar, ia mungkin memerlukan bantuan dari rakan-rakan yang lain. Jadi kita ada pasukan daripada (Parlimen) Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah yang boleh datang untuk membantu. Jadi melihatkan keperluan, kita fikir kita perlu buat.
"Ada juga pengundi di Tambun ini menantu orang Batu Gajah, ada juga pengundi di Tambun ini, ipar kepada orang Ipoh Barat. Kekeluargaan itu rapat dan kita akan menyediakan team sokongan ini untuk membantu Tambun," katanya kepada pemberita dalam satu temubual khas di Laman Seri Ridzuan di sini pada malam Ahad.
Sementara itu, Saarani menolak dakwaan wujudnya sebarang pakatan di antara BN dan PN untuk menumbangkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi itu.
Menurutnya, walaupun secara teori gabungan itu mampu menewaskan PH di Tambun, namun ia tidak mampu mencapai kata sepakat seperti yang berlaku sebelum ini.
"Tak ada siapa pun berhubung dengan saya berkaitan dengan cadangan pakatan itu dan saya lihat pun ia hanyalah satu khabar angin. Itu teori tapi ia telah cuba dilaksanakan lebih dari dua tahun yang lalu. Tak selesai-selesai, tak dapat.
"Jadi saya tak fikir itu akan berlaku bermakna kita akan menghadapi kalau tiga penjuru, tiga penjurulah," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Perak itu optimis BN akan merampas kerusi Parlimen itu pada PRU kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!