Wany Hasrita fobia menyanyi live di TV
GARA-GARA dikecam teruk ketika membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 tahun lalu, penyanyi Wany Hasrita mengakui pernah hilang keyakinan diri untuk membuat persembahan secara langsung di TV.
Menurut Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Abdullah, 27, insiden terbabit telah memberi kesan yang besar kepada dirinya sehinggakan terpaksa mengambil masa beberapa bulan untuk memulihkan kembali keyakinan dirinya.
“Sebenarnya bila menyanyi live untuk show biasa, saya tidak pernah berdepan sebarang masalah, cuma bila bersiaran langsung di TV sahaja perasaan takut dan gementar itu datang.
“Risau kalau-kalau buat salah atau cara nyanyian tak betul kerana bila keluar di TV, kesalahan tersebut akan jadi lebih teruk dan dapat dilihat jelas sekali gus mengundang kepada kecaman.
“Apa pun setelah beberapa bulan, keyakinan diri saya kembali pulih terutamanya selepas tampil membuat persembahan live untuk program Big Stage Ogos lalu dan kini saya sudah berjaya mengatasi masalah tersebut,” tegas Wany.
Dalam pada itu, penyanyi yang baru sahaja tampil dengan single Terlalu Memuja ini mengharapkan penglibatan dalam Trio Concert Tour 2019 yang menyaksikan gandingan dengan Khai Bahar dan Sufian Suhaimi ini turut dapat membuktikan kemampuan nyanyiannya.
“Saya memang teruja dengan konsert ini kerana merasakan ia adalah medan terbaik untuk saya membuktikan kemampuan nyanyian, sekali gus menghiburkan peminat yang banyak menyokong kerjaya saya.
“Walaupun siri konsert tersebut akan bermula pada Julai depan, namun saya sudah mula membuat terutamanya dari segi vokal, stamina dan lain-lain.
“Penglibatan dalam konsert ini juga memberi peluang kepada saya untuk belajar tentang banyak perkara baharu dan itulah yang cukup menyeronokkan,” kata Wany kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!