Milan turun ke tangga ketiga Serie A
REKOD tanpa kalah AC Milan dalam empat perlawanan liga lebur selepas pasukan itu tewas kepada Torino 2-1 dalam aksi Serie A awal pagi Isnin.
Beraksi di laman sendiri, ia nyata memberi kelebihan buat Torino apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi tandukan Koffi Djidji.
Dua minit berselang, Torino sekali membolosi gawang Milan kali ini menerusi rembatan deras Aleksei Miranchuk menewaskan Ciprian Tatarusanu.
AC Milan berjaya merapatkan kedudukan apabila berjaya membolosi gawang Torino pada minit ke-67 melalui Junior Messias namun ia tidak cukup untuk menidakkan kemenangan buat pasukan tuan rumah.
“Ia sudah tentu bukan malam yang indah buat pasukan. Mereka sebenarnya mampu untuk bertahan dan menyerang dengan lebih baik berbanding apa yang ditampilkan.
“Saya harus akui ini bukanlah satu perlawanan yang mudah dan ia merupakan permainan fizikal. Lawan lebih baik berbanding kami dan mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh yang singkat.
“Pasukan cuba bangkit pada separuh masa kedua, dan mereka menampilkan aksi yang berbeza cumanya pemain gagal untuk merapatkan kedudukan dengan cepat. Mereka perlu bangkit untuk perlawanan seterusnya,”kata pengendali Milan Stefano Pioli.
Kekalahan itu menyaksikan Milan turun satu anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga dengan dibezakan enam mata berbanding pendahulu Serie A, Napoli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!