Ujian mental, fizikal Tottenham di Marseille
HARRY Kane menggesa para pemain Tottenham Hotspur untuk lebih bersedia mental dan fizikal dari awal menjelang perlawanan penting berdepan kelab Ligue 1 Perancis, Olympique Marseille di Stade Velodrome pada Rabu.
Spurs menuju ke Perancis dengan mengetahui angkatan Antonio Conte itu memerlukan satu mata untuk layak ke pusingan 16 terakhir, namun berharap sekurang-kurangnya bergerak dengan momentum berikutan kemenangan dramatik 3-2 di Bournemouth pada Ahad.
Di Stadium Vitality, anak buah Conte ketinggalan 2-0 selepas 50 minit, namun pacuan jaringan pantas Ryan Sessegnon dan Ben Davies memulihkan keseimbangan sebelum pemain gantian Rodrigo Bentancur menjaringkan gol pemusnah pada minit kedua masa kecederaan.
Tiga mata di laman The Cherries itu menamatkan tiga perlawanan tanpa kemenangan Tottenham, sekali gus menaikkan semangat menjelang minggu kritikal apabila mereka bukan sahaja berdepan Marseille namun menjadi tuan rumah kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Isnin.
“Ini (kemenangan) menyediakan kami dengan baik untuk minggu ini. Rabu akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, terutamanya dengan hanya berehat beberapa hari sebelum perlawanan.
“Kami perlu bersedia mental dan fizikal untuknya dan ada satu lagi perlawanan besar pada Isnin iaitu menentang Liverpool.
“Secara keseluruhan, ia adalah amat penting untuk kembali ke landasan kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris. Ia mengekalkan kami di kelompok sana, dalam dan sekitar bahagian teratas.
“Ia juga penting untuk momentum dan kini kami pergi ke Marseille dengan perasaan yang baik," kata Kane.
LIGA JUARA-JUARA
RABU (2 NOVEMBER)
Porto lwn Atletico Madrid, 1.45 pagi
Bayer Leverkusen lwn Club Brugge, 1.45 pagi
Bayern Munich lwn Inter Milan, 4 pagi
Liverpool lwn Napoli, 4 pagi
Marseille lwn Tottenham Hotspur, 4 pagi
Rangers lwn Ajax Amsterdam, 4 pagi
Viktoria Plzen lwn Barcelona, 4 pagi
Sporting Lisbon lwn Eintracht Frankfurt, 4 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!