'Peluang cerah jika kerusi Parlimen Batu diberi pada UMNO'
KUALA LUMPUR - UMNO Bahagian Batu menyuarakan keyakinan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk merampas semula kerusi Parlimen Batu daripada pembangkang sekiranya diberi peluang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, ketika ini pihaknya sedang 'berjuang' supaya kerusi tersebut diberikan kepada UMNO dan bukannya MCA.
"Kerusi asal Parlimen Batu adalah milik parti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bukan MCA. Gerakan sudah menyertai Perikatan Nasional (PN).
"(Sepatutnya) kerusi ini kosong," katanya kepada Sinar Harian.
UMNO dijangka mengumumkan calonnya pada Rabu, tiga hari sebelum penamaan calon PRU15.
Parlimen Batu kali terakhir menjadi milik BN pada 2004 namun jatuh ke tangan PKR pada 2008 selepas wakilnya, Tian Chua mengalahkan calon BN (Gerakan), Lim Si Pin dengan majoriti 9,455 undi.
Sejak itu, Parlimen Batu merupakan kubu kuat PKR sebelum jatuh ke tangan calon Bebas, P Prabakaran pada PRU14 2018 dengan majoriti yang tinggi apabila Tian Chua tidak layak bertanding ketika itu.
Prabakaran kemudian menyertai PKR susulan kemenangan berkenaan dan diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi berkenaan pada PRU15.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, berdasarkan komposisi kaum di Batu, kerusi tersebut perlu diberikan kepda UMNO.
Ujarnya, komposisi kaum Melayu di Parlimen Batu sebanyak 48 peratus, pengundi Cina (32 peratus) dan India 18 peratus.
"UMNO tak pernah letak calon di Parlimen Batu. Saya rasa dengan jentera dan persiapan di pusat daerah mengundi (PDM), kita memang siap sedia.
"Adanya jentera kuat, saya kira agak lengkap jika diberi pada UMNO. Kita ada harapan untuk menang," katanya.
Tambahnya, sekiranya ramai calon bebas bertanding di Parlimen Batu juga memberi kelebihan kepada UMNO untuk menang.
"Lagi ramai calon bebas lagi bagus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!