Kedudukan Shahidan, Zahidi diketahui hari ini atau esok
KANGAR - Status Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin masih menjadi tanda tanya sama ada dikekalkan atau digugurkan dalam senarai calon BN bagi negeri Perlis untuk bertanding pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15)
Menurut sumber parti itu, nama penyandang kerusi Parlimen Arau dan Padang Besar itu tiada dalam senarai calon yang akan mewakili BN, sebaliknya dua muka baharu dipilih untuk menggantikan tempat Shahidan dan Zahidi.
“Bagi kerusi Parlimen Arau, BN akan menampilkan muka baharu dalam kalangan orang muda manakala kerusi Parlimen Padang Besar akan diwakili calon wanita yang juga muka baharu.
“Apa-apa pun, tunggu pengumuman rasmi yang kita akan buat pada hari ini atau esok,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Berdasarkan rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau sejak Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.
Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar pula menguasai Parlimen berkenaan sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang DUN Beseri.
Dalam perkembangan sama, sumber parti itu turut mengesahkan Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan kekal bertanding kerusi DUN pada PRU15 ini.
Sebelum ini, timbul desas-desus Azlan yang juga Menteri Besar akan bertanding di kerusi Parlimen Kangar setelah dua penggal bertanding di kerusi DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!