TM tandatangan perjanjian akses perkhidmatan 5G dengan DNB
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, TM menjelaskan mengikut AA itu, DNB akan menyediakan produk rangkaian borong 5G nasional, yang merupakan produk asas dalam rangkaian akses 5G DNB kepada TM yang bermula secara retrospektif pada 7 Oktober 2022 sehingga tamat tempoh 10 tahun pada 6 Oktober 2032.
"TM perlu melanggan produk rangkaian borong 5G nasional itu untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan 5G lain yang ditawarkan oleh DNB,” menurut syarikat utama telekomunikasi itu.
TM menambah, pemeteraian AA itu menunjukkan komitmennya terhadap penciptaan nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan menerusi langkah memanfaatkan teknologi 5G bagi menyediakan kesambungan, penyelesaian dan pengalaman pelanggan yang terbaik dalam kelasnya.
"5G akan mempercepat matlamat TM dalam menawarkan konvergen mudah alih tetap (FMC) dan penyelesaian digital termaju untuk memenuhi keperluan masyarakat, perusahaan, industri dan negara yang dinamik dan semakin berkembang,” jelasnya.
Menurut TM, dengan kira-kira 2.9 juta pelanggan jalur lebar tetap yang direkodkan setakat separuh pertama 2022, penyediaan perkhidmatan 5G akan melonjakkan kedudukan TM sebagai rakan kongsi pilihan dalam mempercepat penerimagunaan FMC melalui penyelesaian 5G dan jalur lebar tetap.
Menerusi infrastruktur rangkaian, produk dan perkhidmatan inovatif yang komprehensif di samping penambahan kemahiran serta pemerolehan bakat teknologi, TM berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aspirasi ekonomi digital negara, tambahnya.
"Selain membolehkan ekosistem 5G dengan menjadi rakan kongsi kepada DNB bagi pelancaran infrastruktur yang lebih pantas, TM juga akan berperanan sebagai penyedia FMC utama ke arah merealisasikan aspirasi ekonomi digital Malaysia,” menurutnya.
TM adalah antara empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menandatangani Perjanjian Langganan Saham (SSA) membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam DNB pada awal Oktober.
Di bawah SSA itu, TM dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) masing-masing memegang 20 peratus kepentingan manakala Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd pula dengan masing-masing 12.5 peratus kepentingan dan kerajaan memegang baki 35 peratus lagi dan saham khas dalam DNB. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!