Polis rakam video, gambar sepanjang pilihan raya
IPOH - Polis meningkatkan pemantauan dengan merakam video dan gambar sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rakaman itu dijadikan bukti penugasan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang sepanjang proses PRU yang akan bermula Sabtu ini.
"Orang ramai mempunyai telefon, gambar dan video boleh diambil bila-bila masa. Kita akan merakam dan mengambil gambar setiap penugasan dilakukan bagi mengelak salah faham.
"Saya mengingatkan kepada semua anggota untuk menjalankan tugas dengan penuh profesional dan berhemah berpandukan peraturan yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Simulasi Latihan Amal Unit Tempur Ringan (LFS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, seramai 1,567 pegawai dan anggota IPD Ipoh akan diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bermula fasa penamaan sehingga pasca pilihan raya.
Tambahnya, anggota ditugaskan untuk menjaga keselamatan 150 pusat mengundi dan 982 saluran di tiga kawasan Parlimen di Ipoh dan dua kawasan Parlimen bertindih.
"Simulasi ini adalah sebagai persediaan rapi kepada semua anggota LSF supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Semua kesiapsiagaan yang telah dijalankan itu diharap dapat membantu semua pihak menjayakan pelaksanaan pilihan raya nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!