'UMNO, Pas tidak sepatutnya berlawan sesama sendiri'
KUALA TERENGGANU - Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim meluahkan rasa terkilan kerana UMNO dan Pas tidak berada dalam satu gabungan politik bagi membentuk kerajaan lebih stabil pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas beliau, kedua-dua parti itu sepatutnya berada dalam satu blok politik untuk sama-sama 'bertempur' dalam pilihan raya ini.
"Sepatutnya kita bersama UMNO berada di bawah penyatuan ummah (Muafakat Nasional). Kita telah konsisten dari dulu mengajak (UMNO) supaya dapat bersama, tetapi malangnya seperti yang diketahui ianya gagal di peringkat atas.
"Saya dapat rasakan kekecewaan dalam kalangan ahli-ahli UMNO di peringkat bawah dan sebagainya kerana kita jangkakan (UMNO, Pas) sepatutnya tidak perlu berlawan sesama sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pusat Media Perikatan Nasional (PN) di sini, pada Isnin.
Amzad bagaimanapun berkata, apapun keputusan yang telah dibuat, Pas perlu meneruskan perjuangan untuk berdepan dengan parti lawan, sekali gus mengekalkan kemenangan sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap sokongan yang akan diterima sekiranya masih diberikan peluang untuk bertanding di kerusi sama pada pilihanraya nanti.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata, beliau menyerahkan sebarang keputusan kepada pucuk pimpinan yang bakal mengumumkan calon dalam masa terdekat.
Apapun keputusan, PRU ini kita mesti hadapi. Saya sebenarnya ramai rakan dalam kalangan orang UMNO sendiri. Jadi jangan pelik dalam pilihanraya ini pengundi saya ada dalam kalangan orang UMNO," katanya.
Dalam masa sama, anak jati kelahiran Kuala Terengganu itu tidak memandang enteng kelebihan calon daripada parti lawan yang akan dipertaruhkan untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
"Sama ada saya akan pertahankan atau tidak, ia tertakluk kepada keputusan parti dan setakat ni saya masih tidak tahu sama ada nama saya dicalonkan atau tidak.
"Saya tidak pernah menganggap semua saingan adalah mudah kerana pada saya mereka semua mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.
Pada PRU14 lalu, Ahmad Amzad menang selesa selepas memperoleh 42,988 undi majoriti 14,773 undi menewaskan calon dari BN, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang mendapat 28,215 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (15,380 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!