Kerajaan tiada pilihan lain bantu Felda: PM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bantuan kerajaan itu bertujuan membantu peneroka-peneroka Felda yang menderita akibat penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
"Jika Felda dan Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya memperoleh keuntungan yang tinggi, maka kerajaan tidak perlu suntik dana.
"Tetapi malangnya, bagi kes peneroka Felda, mereka merana, akibat tindakan kerajaan dan pengurusan terdahulu yang mencuri duit mereka.
"Oleh itu, kita (kerajaan) tidak mempunyai pilihan lain untuk mengatasi kesusahan peneroka Felda ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan suntik RM6.23 Bilion kepada Felda
Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat bagi memulihkan semula Felda.
Katanya, kerajaan berhasrat untuk meringankan bebanan hutang peneroka dengan memperkenalkan Skim Pengurusan Aset Canggih (SPAC) bagi menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!