Terengganu sasar 25 emas Para Sukma 2022
KONTINJEN Terengganu menyasarkan kutipan 25 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula Selasa.
Menurut Ketua Kontinjen Para Sukma Terengganu, Mohd Izwandy Ismail, sasaran itu lebih rendah berbanding empat tahun lalu yang menyaksikan Terengganu membawa pulang 28 pingat emas.
"Sasaran lebih rendah dibuat berbanding pencapaian pada 2018 memandangkan persediaan pasukan yang terjejas akibat serangan pandemik Covid-19.
"Bagaimanapun kami tetap mengharapkan kebangkitan atlet untuk meletakkan Terengganu di kelompok tiga pasukan terbaik keseluruhan. Dengan penambahbaikan dan persiapan lebih baik pada edisi terdahulu, kami optimis mampu melakukannya," katanya.
Katanya, untuk penganjuran kali ini, kontinjen Terengganu menghantar 77 atlet yang akan mengambil bahagian dalam acara badminton, memanah, boccia, angkat berat, renang, tenpin boling, catur, olahraga, boling padang dan ping pong.
Mohd Izwandy berkata, saingan utama dijangka diterima daripada pasukan Sabah, Selangor dan skuad bumi Kenyalang yang mendominasi sukan Para Sukma setiap tahun.
"Sukan para sentiasa mendapat perhatian khusus oleh kerajaan negeri Sarawak. Mereka telah lama melaksanakan program pembangunan untuk sukan berkenaan.
"Bagaimanapun kebelakangan ini negeri-negeri lain juga sudah mula buka mata dan beri perhatian serius pada pembangunan sukan para," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Izwandy berkata, kerajaan negeri juga menyediakan insentif kemenangan kepada para atlet yang berjaya menyumbangkan pingat pada kejohanan tersebut.
Insentif itu sebagai suntikan semangat dan motivasi kepada para atlet yang bertanding demi mengharumkan nama negeri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!