JPJ ingatkan konvoi PRU15 pakai helmet, patuh trafik
SHAH ALAM - Peserta konvoi bermotosikal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan supaya sentiasa memakai topi keledar dan mematuhi peraturan trafik.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, pemantauan berterusan akan dijalankan pihaknya melibatkan aktiviti konvoi bermotosikal yang sudah menjadi kebiasaan pada setiap PRU sebelum ini.
"Jika tak pakai topi keledar, sudah tentu salah dan tak pernah kita benarkan.
"Tapi untuk konvoi, ada dua pihak yang akan buat pengawasan iaitu kita (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika ditemui di acara Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Selangor Siri 3, di Dewan Melati, Seksyen 7 di sini pada Isnin.
Khairul berkata, kebiasaannya, penganjur konvoi akan memberi nama-nama peserta konvoi kepada PDRM dan semakan serta saringan akan dijalankan pihak JPJ.
"JPJ akan buat saringan agar semua yang menyertai ada kelayakan untuk memandu dan kita juga buat pemeriksaan kenderaan sebelum kita beri keizinan," ujarnya.
Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan bukan hanya dititikberatkan kepada motosikal sahaja tetapi kepada semua pengguna jalan raya.
Katanya, pemantauan akan dijalankan mengikut prosedur jabatan yang sedia ada termasuk menggunakan kamera bagi merakam pesalah trafik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!