Sarawak jadi pilihan dominasi Para Sukma 2022
PENGANJURAN temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) yang bermula Selasa akan kembali memeriahkan dunia sukan tanah air selepas kali terakhir dianjurkan pada edisi 2018 di Perak.
Bagi peminat yang mengikuti perkembangan Para Sukma, kecemerlangan kontinjen Sarawak sememangnya tidak dapat disangkal lagi susulan kejayaan merangkul gelaran juara buat 13 kali berturut-turut sejak edisi 1994 di Johor.
Sekali lagi, pasukan 'Bumi Kenyalang' itu menjadi pilihan untuk mendominasi Para Sukma, sekali gus merangkul kejuaraan ke-14 berturut-turut pada edisi 2022 yang berlangsung di sekitar Lembah Klang.
Selain menjalani persiapan rapi, kontinjen Sarawak dilihat serius bagi mengekalkan penguasaan mereka termasuk menamakan Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohammad Razi Sitam sebagai Ketua Kontinjen kali ini.
Malah, Timbalan Ketua Kontinjennya Lamat Nyalau percaya Sarawak mampu mencatat kejayaan gemilang dengan membawa pulang 64 emas sekali gus melepasi pencapaian 61 emas, 62 perak dan 41 gangsa yang dibawa pulang dari Perak, empat tahun lepas.
"Antara acara menjadi tumpuan kami ialah powerlifting bersandarkan semangat idola atlet Sukan Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin. Ada pelapis lain yang mampu membawa pulang tiga emas dalam acara ini," katanya pada Majlis Menaikkan Bendera Kontinjen Para Sukma 2022, pada Isnin
Walaupun tidak dapat meramalkan pasukan pilihan kali ini, Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Sofian Hamzah mengakui Sarawak mempunyai program pembangunan atlet yang bagus selain sokongan kuat daripada kerajaan negeri, menjadi faktor utama mereka gah di Para Sukma.
Jika pencapaian edisi 2018 menjadi ukuran, Sabah yang bergelar naib juara dengan membawa pulang 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa dilihat mampu menjadi pencabar terdekat jiran mereka.
Bukan itu sahaja, kejayaan sensasi Johor yang muncul juara Sukma buat kali pertama baru-baru ini boleh membakar semangat atlet para mereka untuk tampil membuat kejutan 'memecah tembok' dibina Sarawak selama ini.
Dalam pada itu, Mohd Sofian berkata, temasya Para Sukma bakal menjadi medan MSN dalam mengetengahkan atlet khususnya muka baharu yang mampu membawa cabaran negara pada Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja selain Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, Oktober tahun depan.
Sebanyak 294 acara daripada 10 jenis sukan iaitu boccia, renang, badminton, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling dipertandingkan pada Para Sukma 2022.
Majlis pembukaan rasmi dijangka diadakan di Axiata Arena bermula 2.30 petang, Selasa.
Temasya Para Sukma 2022 akan berlangsung sehingga 6 November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!