Tempoh mendidik larangan merokok bakal berakhir Julai

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Berikutan tempoh mendidik berhubung larangan merokok di tempat makan bakal berakhir Julai ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menasihatkan orang awam agar mengubah sikap dengan tidak merokok, mengurangkan tabiat merokok atau berhenti merokok.

"Jika mereka hendak berhenti merokok, perkhidmatan berhenti merokok disediakan di 731 klinik kesihatan dan 46 hospital KKM secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Plus antara Kementerian Kesihatan dan Bintulu Port Holdings Bhd, di sini hari ini.

Mulai Julai ini, beliau berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang ingkar larangan merokok itu dan penguatkuasaan bakal dipertingkatkan.

Bermula 1 Jan lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Namun tempoh mendidik selama enam bulan diberikan sebelum kompaun dikeluarkan.

Di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. Mengenai Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan merangkumi kawalan ke atas rokok elektronik dan vape, Boon Chye berkata penjualan cecair rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

"Jika ia (cecair) mengandungi nikotin, penjual tidak sepatutnya jual kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. Jika tidak mengandungi nikotin, penjual boleh terus menjual walaupun tidak digalakkan KKM,” katanya.

Mengenai Kospen Plus itu, Boon Chye berkata terdapat 563 agensi awam dan swasta melaksanakan program tersebut sejak pelancarannya pada 2016 dan berharap lebih banyak agensi dapat terlibat bagi memperkasa rakyat di peringkat akar umbi dalam aspek penjagaan kendiri dalam memerangi penyakit tidak berjangkit.

Artikel Berkaitan:

Program Kospen Plus merangkumi enam skop utama melibatkan amalan pemakanan sihat, amalan tidak merokok, hidup yang aktif, pengurusan berat badan, saringan kesihatan dan minda sihat serta dua skop pilihan membabitkan persekitaran tempat kerja sihat dan pencegahan serta pengurangan kemudaratan alkohol. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!