Pesara maut motosikal terbabas, langgar pagar rumah
LIPIS - Seorang pesara syarikat Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas motosikal ditunggang terbabas melanggar pagar sebuah rumah di Jalan Taman Cheneras Jaya di sini pada Isnin.
Dalam nahas kira-kira jam 10.40 pagi itu, mangsa, Ibrahim @ Abdullah Che Mamat, 73 tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Lipis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Cheneras Jaya dari arah bandar Kuala Lipis.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas melanggar pagar sebuah rumah sebelum dia terjatuh ke dalam longkang.
"Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!