Penyatuan Bersatu, Pas bawa kejayaan Parlimen Tangga Batu
MELAKA - Pemuda Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka yakin penyatuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan membawa kejayaan di Parlimen Tangga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, walaupun timbul isu berhubung bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti, namun ahli Bersatu dalam DUN Sungai Udang dan Bersatu bahagian itu tetap bersama dengan PN.
Walaupun individu telah melepaskan keahlian dan jawatannya, namun kita akan tetap bersama di bawah gabungan tiga parti.
"Biarlah, itu pendirian dia, tetapi kami akan berjuang di bawah panji bendera Bersatu dan Perikatan Nasional," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, tidak timbul sebarang isu memboikot calon dan ahli parti itu, sebaliknya pihaknya akan memberikan sokongan padu terhadap calon Pas yang akan bertanding di Parlimen itu kelak.
"Malah kami sentiasa menyokong dan akan bekerja keras bersama Pas bagi mencapai kejayaan di kerusi tersebut," katanya lagi.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Mohd Rafiq mengumumkan beliau meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu diambil selepas beliau tidak dipilih sebagai calon PN bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!