Harga sawit rendah: MCA cadang Malaysia perbaiki hubungan dengan China
SHAH ALAM - MCA mencadangkan agar Malaysia memperbaiki semula hubungannya dengan China, bagi meningkatkan pembelian sawit negara, susulan kemerosotan jumlah eksport komoditi itu ketika ini.
Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Leong Kim Soon berkata, usaha yang dilakukan kerajaan untuk meningkatkan pembelian sawit buat masa ini tidak mencukupi kerana ia diadakan pada skala yang terlalu kecil.
"Menteri Industri Utama, Teresa Kok sepatutnya merangka dasar menyeluruh dan komprehensif untuk membantu industri tersebut seperti menggalakkan China menambah jumlah import minyak sawit dari Malaysia.
"Bukannya hanya tumpu kepada promosi skala kecil tempatan seperti menyeru rakyat minum sesudu minyak sawit setiap hari," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, selepas hubungan dengan China terjalin, Malaysia boleh menggalakkan China mengikut contoh seperti India yang menurunkan cukai import minyak sawit.
"Selain India, kita juga boleh mencontohi Indonesia dengan membatalkan cukai eksport minyak sawit," katanya.
Bagaimanapun katanya, kerajaan masih tidak mengendahkan kepentingan pekebun kecil, dan hanya mampu melancarkan kempen berskala kecil sahaja.
"Cadangan menggantikan sawit dengan tanaman lain seperti buluh juga tidak masuk akal, dan menonjolkan sikap naif menteri," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia wajib tahu khasiat minyak sawit
Kerajaan baru-baru ini melancarkan kempen Sayangi Sawitku bagi menaikkan semula industri komoditi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!