JDT tepati ramalan ke suku akhir

Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto Johor Southern Tigers
Kesebelasan utama JDT pada perlawanan berkenaan. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

JUARA Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan untuk mara ke suku akhir TM Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan PJ City FC 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mara dengan agregat 6-0 hasil kemenangan 4-0 ke atas skuad The Phoenix itu pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 26 Oktober lalu.

Biarpun agak selesa dengan dengan kelebihan jaringan di tempat lawan, JDT tetap mengasak hebat gawang pelawat sebaik wisel permulaan.

Hasilnya, penyerang import yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Bergson Da Silva membuka jaringan pada minit ke-3, hasil percubaan dari luar kotak penalti pad yang sama sekali menewaskan penjaga gawang pelawat, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan pelawat dilihat cuba bangkit dengan mengatur asakan ke gawang tuan rumah namun berjaya dikekang benteng pertahanan.

JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-33 apabila Bergson berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan PJ City FC, namun percubaannya gagal menepati sasaran.

Perlawanan selepas itu dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang dengan kedua-dua pasukan dilihat gagal menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing hingga tamat babak pertama.

JDT dilihat semakin menggandakan asakan pada babak kedua dalam usaha menambah jaringan, namun beberapa percubaan ke pintu gol gagal menepati sasaran.

Artikel Berkaitan:

JDT sekali lagi berpeluang menambah jaringan pada minit ke-70, namun percubaan Safiq Rahim berjaya ditepis Kalamullah sebelum rembatan susulan Syahmi Safari tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun, pemain gantian, Fernando Forestieri kembali menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-72 apabila berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan PJ City FC sebelum menewaskan Kalamullah untuk gol kedua skuad Harimau Selatan itu.

Biarpun agak ketinggalan dari segi jaringan gol, namun kesebelasan PJ City FC dilihat masih bersemangat mengasak hebat ke gawang JDT di penghujung perlawanan dalam usaha merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, segala asakan berkenaan mudah dikekang benteng pertahanan JDT dan menyaksikan kedudukan kekal hingga ke wisel penamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!