Penduduk jumpa 33 tong bahan kimia

Pasukan bomba bersama pegawai JAS menyiasat berhubung penemuan 33 tong berisi sisa buangan terjadual di Gopeng. - Foto Ihsan bomba
Pasukan bomba bersama pegawai JAS menyiasat berhubung penemuan 33 tong berisi sisa buangan terjadual di Gopeng. - Foto Ihsan bomba
A
A
A

GOPENG - Bau tengik yang dihidu penduduk membawa penemuan 33 tong berisi sisa bahan kimia yang dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab di kawasan lapang berhampiran Kawasan Perindustrian Gopeng di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Saiful Rizan Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 5 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Kesemua tong didapati telah bocor yang mana setiap tong berisi 20 peratus cecair sisa buangan terjadual jenis SW 402/UN 1760 di dalamnya.

"Anggota membuat 'size up' (penilaian keadaan) di kawasan tersebut. Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh yang hadir telah membuat pengesanan dan persampelan bahan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahan kimia terbabit mempunyai sifat menghakis dan akan berlaku pemeluwapan selepas bertindak balas dengan air.

"Bau cecair ini boleh dihidu sejauh 500 meter. Operasi diteruskan dengan menutup cecair terdedah dengan pasir.

"Pengesanan sekali lagi dilakukan bagi memastikan tiada lagi sisa berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, sepasukan pegawai berada di lapangan bagi menyiasat perkara tersebut.

"Cecair tersebut belum dapat dikenal pasti lagi kerana sampel hanya boleh diambil selepas pasukan Hazmat memastikan kawasan terdedah adalah selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!