Dilema hantar anak ke pusat asuhan

No Image Caption
A
A
A

KISAH bayi meninggal dunia di pusat asuhan atau ketika di bawah jagaan pengasuh seperti tiada kesudahan.

Semalam, seorang jururawat berkongsi di Facebook mengenai pemergian anaknya yang masih bayi selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh sehingga meruntun perasaan ramai.

Belum pasti apa sebenarnya isi cerita. Pun demikian, menjadi dilema buat ibu di zaman sekarang sama ada mahu menghantar anak kecil untuk dijaga orang lain atau berhenti kerja.

Kepada yang sudah berjawatan, pasti sukar untuk melepaskan posisi yang barangkali sudah utuh. Nak tak nak, pengasuh menjadi pilihan.

Jika si kecil sudah mampu bercakap, mungkin mereka boleh mengadu, senang mak ayah menyelidik apa yang tidak kena. Bagaimana pula kalau masih bayi?

Dalam hal ini, penting untuk ibu bapa melihat perubahan tingkah laku si comel. Apabila selama berbulan-bulan anak masih menangis tatkala disambut dari rumah pengasuh, mesti ada sesuatu. Pantau juga perubahan fizikal. Jika ada benjolan, kesan bengkak atau luka, rajin-rajin buka mulut bertanya.

Satu kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa ialah menyerahkan kepada takdir meskipun sudah mengetahui sejarah buruk sesebuah pusat asuhan. Orang sudah bercerita mengenai tindakan lewa pengasuh, tapi masih ada sesetengah ibu bapa tetap bersangka baik.

Kononnya mengharapkan kejadian serupa tidak menimpa anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Seperkara lagi, kebanyakan isu membabitkan kematian bayi dan kanak-kanak lazimnya berlaku di pusat asuhan atau taska tidak berdaftar. Kenapa perlu merisikokan anak sendiri?

Taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar tidak terikat dengan sebarang prosedur operasi standard (SOP) berbanding yang mendapat lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Juga biasanya persekitaran di dalam premis tidak berapa kondusif.

Apabila di bawah penjagaan individu yang tidak bertauliah, perkembangan fizikal, emosi dan momentum tumbesaran si kecil tidak bagus.

Selain itu, sentiasalah melakukan pemeriksaan mengejut di pusat asuhan bagi memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat.

Apa yang penting, ibu bapa perlu sentiasa peka dan bukannya menyerahkan anak mereka sepenuhnya kepada jagaan pengasuh.

Jangan sudah berlaku kejadian tidak diingini, baru nak menyesal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!