Krisis politik tiris sokongan pengundi
Wujud ketidakpercayaan dalam kalangan pengundi kepada calon yang bertanding
SHAH ALAM - Pergolakan dalaman yang dihadapi sesebuah parti akan memberi impak ketirisan sokongan daripada pengundi.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, keadaan itu juga boleh menjejaskan kepercayaan pengundi terhadap parti tersebut.
"Memang mana-mana parti politik yang berhadapan dengan krisis boleh menjejaskan atau membawa kepada ketirisan sokongan.
"Apatah lagi melibatkan parti baharu contohnya Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang kini bergelut dengan seorang kepimpinan atasan.
"Jadi isu itu walaupun telah diprinsipkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) namun ia masih berterusan dan impaknya kepada mereka yang mencari alternatif kepada pilihan parti lain," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Sivamurugan, krisis itu perlu diselesaikan segera agar tidak menimbulkan impak negatif kepada undian terhadap parti.
"Mana-mana parti yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman perlu menyelesaikan segera supaya tidak menimbulkan impak kepada sokongan ataupun undi protes yang boleh dilakukan penyokong mereka," ujarnya.
Sebelum ini, penyandang Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin bersama 12 Ahli Majlis Tertinggi PBM digantung keahlian oleh Larry Sng kerana pembabitan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.
Krisis dalaman PBM mula meruncing apabila Larry Sng minggu lalu mendakwa, beliau masih Presiden PBM dan tidak pernah mengosongkan jawatan itu untuk diisi oleh Zuraida.
Zuraida pula pada Ahad memaklumkan, segala kemelut parti berkenaan akan diselesaikan secara dalaman dan dijangka mencapai kata sepakat menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 November ini.
Tindakan tegas parti singkir pemimpin tidak sehaluan
Sementara itu, tindakan parti menyingkirkan pemimpin yang tidak sehaluan adalah satu hukuman tegas dan perkara biasa dilakukan oleh setiap parti.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pemimpin mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan sendiri.
“Ini merupakan satu mesej jelas tindakan tegas bagi sesebuah parti politik memastikan semua pemimpin dan calon yang dipilih tersebut adalah individu berdisiplin dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan diri.
“Ia perkara yang akan dilakukan oleh mana-mana parti politik baik Perikatan Nasional (PN), BN atau Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beberapa parti dilihat mula mengambil tindakan menyingkirkan pemimpin dan calon yang tidak sehaluan dengan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas mengenai tindakan penyingkiran tersebut, Awang Azman tidak menolak kemungkinan ia akan memberikan kesan kepada parti kerana menyingkirkan pemimpin yang berkemungkinan mempunyai pengaruh besar di sesebuah kawasan.
Namun, beliau berkata, kesan yang akan berlaku itu hanya kecil dan mekanisme jentera parti perlu bagi memastikan tiada undi protes besar berlaku di kawasan tersebut.
“Pemimpin tersingkir itu mungkin akan beri kesan kepada parti kerana mengambil kira pengaruh tertentu di sesebuah kawasan. Pengaruh tertentu itu merujuk kepada ketika beliau berkuasa dan mempunyai parti yang kukuh.
“Namun, apabila tanpa parti dan hanya berdasarkan atas nama calon bebas, maka sukar untuk dia bergerak kerana tidak ada jentera.
“Jadi, walaupun akan berlaku undi protes, ia lebih merugikan calon Bebas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!