Fokus pasukan sendiri: Bidoglio
KESEBELASAN Johor Darul Ta’zim (JDT) diminta untuk lebih fokus kepada pasukan sendiri menjelang aksi suku akhir TM Piala Malaysia 2022 berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada 5 November ini.
Perkara itu ditegaskan pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio yang tidak mahu pemain skuad Harimau Selatan itu terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan.
“Bagi aksi suku akhir ini, kita perlu lebih fokus kepada diri (pasukan) sendiri. Ia ternyata lebih penting.
“Perkara itu (fokus) juga akan membuatkan pemain lebih ‘mengenali’ pasukan sendiri khususnya dari segi kekuatan yang dimiliki selain memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.
“Seterusnya perkara-perkara ini akan membantu menjadikan pasukan ini lebih baik,” katanya.
JDT mara ke suku akhir Piala Malaysia setelah menewaskan PJ City FC 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.
JDT menang 4-0 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 26 Oktober lalu.
Dalam masa sama Kelantan FC mengesahkan slot ke suku akhir dengan agregat 2-1 biarpun sekadar terikat 1-1 ketika berdepan Sarawak United di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Kelantan FC menang 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Negeri, Kuching 26 Oktober lalu.
Untuk rekod, aksi suku akhir kedua dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, 11 November ini.
Sementara itu, Bidoglio mengakui teruja menjelang aksi persahabatan dengan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund yang dijadualkan berlangsung pada 28 November kelak.
Katanya, peluang beraksi dengan kelab ‘besar’ seperti Dortmund dilihat sebagai satu peluang yang perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesebelasan JDT.
“Peluang bermain dengan pasukan besar seperti Dortmund adalah sesuatu yang mengujakan.
“Namun, kami tidak pasti sama ada Dortmund akan menampilkan pasukan utama mereka memandangkan pada ketika itu ramai pemain akan terlibat dengan Piala Dunia mewakili negara masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!