KJ, Rafizi, Izzah turut jadi calon pilihan
Berdasarkan kaji selidik Pusat Kajian Cina Malaysia (Huayan), Anwar masih menjadi pilihan utama pengundi Cina
SHAH ALAM - Tiga pemimpin muda iaitu Menteri Kesihatan daripada BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut menjadi pilihan diangkat sebagai calon Perdana Menteri kesepuluh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Berdasarkan kaji selidik Pusat Kajian Cina Malaysia (Huayan), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi pilihan utama pengundi Cina dengan undian 20.01 peratus, diikuti rapat Khairy atau KJ (18.56 peratus), Nurul Izzah (18.52 peratus) dan Rafizi (13.89 peratus).
“Namun, responden kaum Cina keberatan memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tiga bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali menjawat kedudukan nombor satu negara itu selepas PRU15.
“Unjuran kami turut mendapati hanya KJ dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (7.6 peratus) yang dikenal pasti calon Perdana Menteri, luar daripada koalisi PH masih mendapat sokongan pengundi Cina,” kata Pengarah Akademik Huayan, Profesor Madya Dr Chang Yun Fah.
ARTIKEL BERKAITAN Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar pilihan calon PM paling popular
Beliau menambah, sejumlah 11 peratus daripada 2,354 responden telah menolak mana-mana pemimpin Melayu yang dicalonkan daripada pelbagai koalisi untuk menjadi Perdana Menteri pada PRU15 dengan mereka menuntut individu lain diketengahkan.
Berdasarkan data tinjauan PRU15 oleh firma penyelidikan politik, O2 Research Malaysia (O2) yang melibatkan 1,105 responden secara atas talian pula, segmen pengundi muda lebih cenderung memilih Nurul Izzah sebagai calon Perdana Menteri dengan 27 peratus undi.
Ia diikuti rapat oleh dua lagi pemimpin muda iaitu Khairy Jamaluddin (24 peratus) dan Rafizi (16 peratus).
Ketua Penyelidik O2, Anis Anwar Suhaimi berkata, Ismail Sabri didapati menguasai sokongan segmen penyokong BN dan GPS apabila memperolehi 28 peratus dan 33 peratus undi daripada kalangan penyokong dua koalisi itu, berbanding Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (27 peratus) dan Najib (24 peratus).
Bagi koalisi PH, Anis Anwar mendedahkan sejumlah 68 peratus responden telah memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri pilihan.
“Pemilihan penyokong PN untuk calon Perdana Menteri pilihan pula agak mengejutkan apabila rata-rata mereka lebih memilih Abdul Hadi yang mendapat undian 28 peratus, berbanding Pengerusi PN sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (24 peratus).
“Satu lagi perkara menarik dari sudut pemilihan penyokong PN pula adalah kelompok ini masih kekal memilih Ismail Sabri daripada BN (19 peratus) sebagai salah seorang daripada tiga calon Perdana Menteri pilihan daripada koalisi mereka,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Pengundi lebih pilih calon?
Sementara itu, Anis Anwar menjelaskan hasil dapatan firmanya menunjukkan terdapat tiga corak berbeza dalam memilih calon Perdana Menteri di antara setiap parti.
Jelasnya, bagi penyokong muda, kriteria utama ditunjukkan adalah usia di mana ketiga-tiga pemimpin ini berusia bawah 50 tahun yang boleh dianggap sebagai generasi baharu memegang jawatan tertinggi di negara ini.
Selain itu, beliau menegaskan persamaan dipamerkan oleh ketiga-tiga pemimpin ini juga adalah berkaitan dengan pembawaan mereka yang lebih tertumpu pada isu-isu sivil sejagat seperti kesihatan, pendidikan, kewangan dan teknologi berbanding isu-isu politik berkitar dalam hal ehwal kepartian dan juga politik keetnikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!