Pengundi lebih pilih calon?

Faktor calon dominasi pilihan rakyat pada PRU15 berbanding kepartian dan isu semasa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Faktor calon menjadi keutamaan pengundi untuk membuat pemilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding dua faktor utama lain iaitu kepartian dan isu semasa.

Berdasarkan data kajian Ilham Centre, daripada keseluruhan 1,622 responden terlibat dalam kajian lapangan badan pemikir politik itu, 38 peratus daripadanya memilih faktor calon untuk penentuan proses pengundian mereka, diikuti parti (32 peratus) dan isu semasa (30 peratus).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, data kajian mengunjurkan pengundi belia meliputi umur 18 hingga 39 tahun meletakkan keutamaan pemilihan calon dari sudut personaliti dan kredibiliti calon.

Hal itu dibuktikan apabila peratusan responden yang memilih faktor calon terdiri daripada usia 18-20 tahun (40 peratus), 21-29 tahun (41 peratus) dan 30-39 tahun (31 peratus).

ARTIKEL BERKAITAN Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar pilihan calon PM paling popular

“Hanya pengundi kelompok 50 tahun ke atas sahaja yang melihat faktor parti sebagai keutamaan mereka menjelang PRU15. Segmen ini, terdiri daripada usia 50 hingga 59 tahun (41 peratus) dan usia 60 tahun ke atas (46 peratus).

“Bagaimanapun, kelompok responden berusia 30 hingga 39 tahun dan 40-49 tahun, menunjukkan trend pengundian lebih progresif serta matang apabila lebih tertarik kepada calon yang mengemukakan isu semasa yang bertepatan dengan kehendak mereka,” katanya.

Daripada keseluruhan 1,622 responden, sejulah 38 peratus daripadanya memilih faktor calon untuk penentuan proses pengundian mereka. (Gambar hiasan)
Daripada keseluruhan 1,622 responden, sejulah 38 peratus daripadanya memilih faktor calon untuk penentuan proses pengundian mereka. (Gambar hiasan)

Bermula 1 hingga 30 September lalu, Ilham Centre mengadakan tinjauan awal PRU15 dengan 1,622 responden telah memberi kerjasama dalam satu kajian lapangan secara bersemuka selama dua bulan.

Artikel Berkaitan:

Data dikumpul menggunakan kaedah soal selidik dan protokol temu bual separa berstruktur dengan ralat pensampelan pada kadar 2.5 peratus ketidakpastian dan tahap keyakinan sebanyak 85 peratus.

Mengikut kaum

Mengenai unjuran faktor pemilihan calon sempena PRU15 mengikut pecahan kaum, data kajian Ilham Centre mendapati kaum Melayu lebih memilih faktor isu semasa (38 peratus) berbanding faktor parti (37 peratus) dan calon (25 peratus).

Responden kaum Cina pula melihat faktor calon (38 peratus) sebagai kriteria utama, manakala kaum India senada dengan responden kaum Melayu apabila lebih memilih faktor isu semasa (36 peratus).

“Bagi responden yang tinggal di bandar, pinggir bandar dan tanah rancangan, mereka melihat faktor isu semasa sebagai agenda keutamaan dalam membuat pilihan pada PRU15.

“Untuk responden yang tinggal di kawasan kampung, kelompok ini melihat faktor calon dan isu semasa sebagai dua aspek penting untuk mereka memuktamadkan proses pengundian kelak,” ujar Mohd Yusri.

ARTIKEL BERKAITAN KJ, Rafizi, Izzah turut jadi calon pilihan

Data kajian lapangan Ilham Centre itu bagaimanapun tidak selari dengan data tinjauan PRU15 oleh satu lagi firma penyelidikan politik, O2 Research Malaysia yang melibatkan 1,105 responden.

Hasil kajian O2 Research Malaysia secara atas talian itu mendapati sejumlah 73.1 peratus responden mahukan calon atau parti yang membawa isu pembangunan dan kebajikan rakyat, selain mewakili suara keseluruhan rakyat biasa (67.6 peratus).

Selain itu, Ketua Penyelidiknya, Anis Anwar Suhaimi turut mendedahkan sejumlah 50.9 peratus responden mahukan calon atau parti yang memiliki imej baik, diikuti pihak mewakili suara berasaskan etnik, gender dan usia (34.4 peratus) dan wakil suara individu (29.9 peratus).

“Jadi, secara umumnya, hasil kajian kami menunjukkan responden daripada pelbagai usia masih lihat faktor isu semasa lebih memberi impak kepada mereka dalam membuat pemilihan undi kelak,” dedah Anis Anwar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!