Gergasi Bundesliga Jerman uji taring Harimau Selatan
PARA peminat berpeluang untuk melihat sendiri kelab hebat dari Bundesliga beraksi apabila Borussia Dortmund akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail, Johor Bahru menentang juara Liga Super sembilan kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) akhir November ini.
Aksi persahabatan itu dimaklumkan JDT menerusi laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers sebentar tadi menerusi satu poster yang tertera perlawanan persahabatan kelab antarabangsa.
“Kelab bola sepak JDT akan mengalu-alukan kunjungan Borussia Dortmund dalam perlawanan persahabatan kelab antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November.
“Butiran lanjut akan menyusul. Luaskan Kuasamu Johor,” catat laman Facebook itu.
Perlawanan tersebut merupakan aksi persahabatan ketika kelab yang berpangkalan di Jerman itu akan berkunjung untuk berdepan beberapa pasukan di rantau Asia Tenggara.
Pengumuman berkenaan mendapat reaksi positif para penyokong selepas skuad Harimau Selatan tampil cemerlang di pentas Liga Juara-Juara AFC musim ini.
Dortmund yang dibimbing Edin Terzic ketika ini menghuni tangga keempat Bundesliga setelah mengumpul 22 mata daripada 12 aksi ketinggalan empat mata kepada pendahulu Union Berlin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!