Elon Musk satu-satunya pengarah Twitter
SAN FRANCISCO - Individu paling kaya di dunia, Elon Musk menjadi satu-satunya pengarah Twitter selepas beliau memuktamadkan pembelian rangkaian media sosial itu menerusi harga AS$44 bilion (RM208.21 bilion), menurut dokumen yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Menurut dokumen itu, Musk juga telah membubarkan lembaga korporatnya.
Dokumen tersebut menyatakan bahawa penyempurnaan penggabungan berlaku pada 27 Oktober lalu yang mana Musk menjadi pengarah tunggal Twitter, manakala seluruh lembaga pengarah termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Parag Agrawal dibubarkan.
Ketika beliau membuat tawaran pembelian awalnya pada April lalu, Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk mengalih keluar Twitter daripada pasaran awam.
Apabila bilionair itu cuba untuk tidak melaksanakan perjanjian tersebut, Twitter bertindak menyaman Musk di sebuah mahkamah Delaware.
Namun, dengan tarikh akhir pembelian semakin hampir pada Oktober lalu, Musk menghidupkan semula perjanjian itu dan akhirnya menutup pengambilalihan pada AS$54.20 (RM256.47) sesaham pada minggu lepas.
Beliau juga dilaporkan bekerja pada hujung minggu dengan jurutera perisian dari Tesla di Twitter serta merancang pemberhentian secara besar-besaran. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!