Langkah Sheraton satu kesilapan: Amirudin
GOMBAK - Langkah Sheraton adalah satu kesilapan yang memusnahkan misi reformasi dibawa dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak penubuhannya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perancangan tersebut lebih awal dan menasihati kumpulan terlibat untuk tidak meneruskan hasrat tersebut.
Namun katanya, nasihat yang diberikan itu tidak diendahkan dan tetap diteruskan menyebabkan kesan buruknya dirasai hingga kini.
"Dua ke tiga minggu sebelum peristiwa itu, saya telah dimaklumkan oleh saudara Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bahawa langkah ini (Sheraton) hendak dibuat.
"Saya sebut kepadanya hal ini tak boleh berlaku dan jika dibuat juga, beliau (Azmin) akan menjadi tempat melepas kemarahan dan kambing hitam.
"Memang benar, lihatlah apa yang berlaku, letak gambar apa-apa pun di media sosial akan dikecam," katanya ketika program ramah mesra bersama petugas Jentera Daerah Mengundi (JDM) Taman Selasih di sini pada Isnin.
Beliau berkata, langkah Sheraton dilakukan oleh kumpulan yang tidak memiliki perjuangan jelas, yang mengambil tindakan merosakkan parti.
"Kalau marah atau tidak puas hati dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pimpinan parti, kenapa sampai merosakkan segala pelan perancangan reformasi yang dibuat?
"Itu yang menjadi faktor saya tolak dan mempertahankan kedudukan keadilan kerana saya mempunyai prinsip dan perjuangan saya jelas," katanya.
Pada masa sama beliau mengakui tidak mudah menang di Parlimen Gombak kerana menentang Mohamed Azmin yang telah menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal.
"Ini bukan tugasan yang mudah kerana orang yang kita bertembung adalah orang yang pernah kita naikkan, orang yang pernah kita angkat dan orang yang telah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal.
"Tetapi saya selalu percaya bahawa kemenangan dan kejayaan bukan atas faktor individu atau nama orang.
"Saya sendiri kalau bertanding atas lambang kunci... habis. Apatah lagi kalau guna lambang katak... hancur. Jika bertanding atasi tiket Pakatan Harapan (PH) atau PKR, itulah penyumbang kepada kemenangan kita," katanya.
Tambah Amirudin, beliau menerima pencalonan tersebut kerana membetulkan keadaan dan memberikan pengajaran kepada bekas rakan seperjuangan yang telah berubah haluan.
"Kalau boleh saya tak mahu bertanding dan mahu memberi laluan kepada orang lain, tetapi saya ambil keputusan untuk terima kerana perlu ke depan untuk membetulkan keadaan dan memberi pengajaran.
"UMNO tidak boleh diberi peluang. Kalau dapat peluang, mereka akan 'makan'. Mula-mula jadi rakan kongsi sampai jadi kerajaan, macam-macam isu keluar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!