PRU15: Pemimpin Pas perlu berlapang dada jika tidak tercalon
PUTRAJAYA - Pas menasihati pemimpinnya agar berlapang dada sekiranya tidak tercalon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembahagian kerusi bagi parti itu telah pun selesai dan hanya menunggu pengumuman dibuat.
"Jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih, mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh ALLAH SWT," tulis beliau menerusi laman Facebook pada Selasa.
Menurutnya, Pas memfokuskan untuk mencapai kemenangan di setiap kerusi yang ditandingi.
"Masa ini bukan hendak cari kelemahan dan kesalahan tetapi nak tutup kelemahan serta bina reputasi positif dalam kalangan pengundi," katanya.
Beliau berkata, ahli dan pemimpin Pas juga perlu kekal bersatu untuk mengharungi perjuangan parti itu.
"Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan sehingga merasakan pendapat kita lebih hebat dari pandangan jemaah.
"Jangan rasa hebat bila boleh melawan perjuangan Islam, dan jangan rasa hebat sekalipun kamu berjaya mengalahkan perjuangan Islam," katanya.
Tuan Ibrahim yang juga penyandang kerusi P024 Kubang Kerian berkata, bakal calon yang diamanahkan untuk bertanding perlu meneruskan tugas mendekati pengundi serta menjaga kebajikan petugas.
"Ada petugas belakang tabir, mereka tidak dikenali dan disanjung, tidak ke hadapan dalam majlis namun terus bekerja mengharapkan kemenangan calon.
"Raikan mereka dalam majlis dan doa," katanya.
Ujar Menteri Alam Sekitar dan Air itu, senarai calon yang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti dibuat menerusi puluhan siri perbincangan dan rundingan.
"Semoga ALLAH SWT memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!