Kren jatuh: Polis sahkan tiada unsur jenayah

Mohd Yusri menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Kerian antara Juna (kanan) dan Hudri di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak pada Selasa.
Mohd Yusri menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Kerian antara Juna (kanan) dan Hudri di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Insiden runtuhan kren gantri yang mengakibatkan dua lelaki maut di Kawasan Perusahaan Kampung Acheh, Sitiawan pada Isnin tidak membabitkan unsur jenayah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian sekitar jam 4.45 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pemotongan kren.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi yang juga rakan sekerja mangsa, ketika kerja pemotongan dilakukan, secara tiba-tiba bahagian atas hujung kren terbalik dan terjatuh lalu menghempap kedua-dua mangsa.

"Keadaan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba sekitar jam 10.30 malam dan setakat ini, siasatan polis mendapati, tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Rajim Hamski, 33, dan Maiyden Asibin, 29, masing-masing berasal dari Sabah.

Semasa kejadian terdapat empat pekerja lelaki berada di tempat kejadian, bagaimanapun seorang daripada mereka berusia 34 tahun telah terselamat dan seorang lagi juga berusia 34 tahun mengalami patah kaki kanan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri berkata, kerja-kerja pemotongan kren di tempat pelupusan itu telahpun dihentikan sementara sehingga siasatan polis selesai.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian," katanya.

Dalam majlis itu, Superintendan Juna Yusoff dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kerian yang baharu menggantikan Superintendan Mazuki Mat yang bersara wajib pada 11 Oktober lepas.

Sepanjang tempoh itu, jawatan berkenaan dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Hudri Mohd Arshad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!