Laluan Kuala Terengganu Bypass dibuka hari ini

Fadillah (dua dari kiri) menyempurnakan pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass pada Selasa.
Fadillah (dua dari kiri) menyempurnakan pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembukaan jajaran Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Bypass) secara rasmi bermula Selasa bakal memberikan banyak impak positif kepada rakyat negeri ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, laluan alternatif itu akan mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT03 sedia ada di bandar Kuala Terengganu terutama pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti sekolah.

Menurutnya, projek tersebut juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna pantai timur selain mampu menjana ekonomi di kawasan Kuala Terengganu khususnya kepada sektor pelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

"Selepas berdepan cabaran seperti pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan pandemik Covid-19 (Perintah Kawalan Pergerakan), projek ini akhirnya berjaya disiapkan walaupun tempoh masa dilanjutkan serta ada penambahan kos.

"Laluan ini akan memberi manfaat kepada lebih 70,000 pengguna," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Jalan Kuala Terengganu Bypass.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Pada majlis tersebut turut diadakan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya memperoleh pelawaan Projek Lingkaran Tengah Utama dan Projek Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) di Kelantan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Jajaran Jalan Pintas Kuala Terengganu bermula di Simpang Tok Molor, Kuala Ibai dan berakhir melintasi Simpang Tok Ku (dahulunya dikenali sebagai Bulatan Sultan Mansor) dan bersambung di Laluan FT03 Kuala Terengganu - Kota Bharu.

Panjang keseluruhan laluan yang direka bentuk adalah sepanjang 5.8 kilometer secara empat lorong dan dua hala menggunakan piawaian U5.

Artikel Berkaitan:

Skop projek ini turut melibatkan persimpangan bertingkat di Simpang Tok Molor dan Simpang Tok Ku.

Fadillah berkata, projek pembinaan Jalan Pintas Kuala Terengganu telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan pada Rolling Plan (RP) 3 Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) dengan siling sebanyak RM250 juta.

Bagaimanapun katanya, kos projek meningkat kepada RM384.3 juta disebabkan peningkatan kos pengambilan balik tanah sebanyak tiga kali ganda.

"Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding yang mana tarikh milik tapak adalah pada 27 Julai 2016 setelah pengambilan balik tanah dapat diselesaikan.

"Laluan ini diwartakan menjadi Jalan Persekutuan FT03: Jalan Pintas Tok Adis-Durian Burung pada 16 September dengan panjang jajaran yang dibuka pada hari ini ialah 5.8 kilometer," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!