Kim Swee belum puas hati
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui perasaannya sedikit bercampur baur selepas pasukannya berjaya layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2022.
Menurut Kim Swee, walaupun gembira pasukannya berjaya lolos ke pusingan seterusnya, beliau masih tidak berpuas hati dengan aksi pemain-pemainnya sepanjang kempen Piala Malaysia.
Justeru, beliau berharap pemain-pemainnya mampu bangkit di peringkat suku akhir sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut.
“Saya gembira kerana pasukan kami layak ke pusingan seterusnya. Bagaimanapun saya masih belum puas hati dengan prestasi mereka dalam dua perlawanan yang lepas.
“Perkara yang sama berlaku apabila kita dibolosi pada akhir perlawanan dan ini perlu diperbaiki. Kita masih terlalu selesa selepas mendahului dan ini tidak sepatutnya berlaku serta perlu diperbaiki dengan segera.
“Kita harus bangkit jika kita mahu ke peringkat yang seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas, sepakan penalti yang disempurnakan Farhan Roslan pada minit ke-65 meletakkan skuad Badak di depan, namun UiTM FC menghidupkan peluang menerusi jaringan lewat permainan Farez Aiman Marzuki di hujung permainan.
Sementara bagi jurulatih UiTM FC, Ismail Ibrahim, beliau memuji aksi yang ditampilkan pasukannya meskipun gagal mencipta kejutan pada perlawanan tersebut.
Jelas beliau, pemain yang dimiliki UiTM mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh sambil berharap pihak pengurusan akan mengekalkan pemain sedia ada bagi mengharungi musim depan.
“Saya rasa puas hati dan bangga dengan pemain-pemain walaupun mereka gagal ke pusingan seterusnya. Mereka ikut arahan dan bermain seperti apa yang dirancang.
“Jadi saya harap pihak pengurusan dapat mengekalkan pemain yang sedia ada bagi menghadapi saingan musim depan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!